Penjawat awam perlu setia kepada kerajaan
SEREMBAN - Kakitangan pentadbiran kerajaan negeri dinasihatkan supaya menerapkan nilai cinta kepada negara dan setia kepada kerajaan yang memerintah.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, institusi kepimpinan negara telah dilantik oleh rakyat melalui sistem pilihan raya yang telus.
Sehubungan itu katanya, semua penjawat awam perlu bertindak melaksanakan dasar kerajaan yang telah ditetapkan dan merealisasikan perancangan pembangunan yang dirangka oleh pucuk pimpinan sama ada di negeri mahu pun negara.
"Saya berharap semua penjawat awam di negeri ini sentiasa melimpahkan taat setia kepada kerajaan yang memerintah hari ini.
"Budaya kerja kini juga sudah berbeza berbanding dahulu, kecekapan dan kepantasan melaksanakan tugas adalah satu kewajipan dan bukan lagi pilihan, laksanakan tugas dengan penuh amanah, jujur dan berintegriti.
"Pegawai yang cemerlang akan sentiasa berusaha mencari kaedah untuk menambahbaik proses kerja yang mampu melangkaui ekspektasi pelanggan, tanpa melanggari proses sedia ada serta prinsip yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan bagi tahun 2017, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik dan Yang Dipertua Dun, Zulkefly Mohd Omar.
Seramai 520 kakitangan pentadbiran kerajaan negeri menerima sijil penghargaan APC.
Kata Aminuddin, APC ini merupakan satu pengiktirafan bagi menghargai pegawai perkhidmatan awam yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang berdasarkan prestasi tahunan pegawai bagi tahun 2017.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment