Munafik 2 lebih baik daripada filem pertama

Sunday, September 2, 2018

Munafik 2 lebih baik daripada filem pertama

Munafik 2 lebih baik daripada filem pertama

PENERBITAN filem Munafik pada 2016 memberi impak tersendiri terhadap penghasilan genre seram dalam industri perfileman tempatan.

Filem yang ditulis dan diarahkan oleh pengarah prolifik, Syamsul Yusof bukan hanya sebuah cerita seram semata-mata tetapi juga memasukkan elemen agama dan sarat dengan mesej berguna.

Tidak hanya mencipta fenomena di sini, ia juga turut mendapat sambutan yang baik di Indonesia.

Atas sambutan hangat itu jugalah mendorong Syamsul menghasilkan sekuel filem berkenaan dengan menampilkan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Maya Karin, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Datuk Rahim Razali, Nasir Bilal Khan, Ku Faridah dan Weni Panca Apriyantina (pelakon dari Indonesia yang memegang watak syaitan/hantu).

Filem ke-10 arahan Syamsul membabitkan kos RM2.9 juta ini mengisahkan kehidupan Ustaz Adam yang lebih tenang.

Sementara itu, di seberang kampung tinggal seorang wanita bernama Sakinah bersama anak lelakinya Aman yang beberapa kali diganggu syaitan.

Sakinah percaya kejadian berpunca daripada Abuja, seorang munafik dan ketua ajaran sesat di kampungnya.

Bermulalah perjuangan Adam di jalan ALLAH sekali lagi. Mampukah Adam menepis “talbis Iblis” yang bakal diharunginya kali ini? Apakah rahsia di sebalik imbasan kematian Maria di fikiran Adam? Siapa sebenarnya Sakinah di sisi Abuja?

Bagi penulis, perjalanan filem Munafik 2 adalah lebih baik daripada filem pertama. Ingin penulis ingatkan bahawa filem ini bukanlah sebuah filem seram semata-mata, sebaliknya Syamsul telah mengadun filem ini dengan unsur Islamik.

Justeru banyak dialog-dialognya berlandaskan hadis dan ayat al-Quran serta ada ketikanya mereka sendiri berdialog dalam bahasa Arab.

Namun filem ini tetap membuatkan penonton meremang bulu roma semasa menonton dan penyusunan elemen 'jump scare' juga tetap membuatkan penonton terkejut.

Bukan itu sahaja, dari segi sinematografi, pencahayaan, penulis beri lima bintang untuk Syamsul kerana sentuhannya itu memang bersesuaian untuk sebuah filem seram.

Begitu juga dengan lakonan mantap para pelakonnya yang mencantikkan lagi perjalanan filem ini.

Pendek kata, untuk sebuah filem tempatan, Munafik 2 sememangnya sebuah karya yang boleh dibanggakan dan berbaloi untuk ditonton.

Pengarah: Syamsul Yusof

Pelakon: Syamsul Yusof, Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Fauzi Nawawi, Nasir Bilal Khan & Datuk Rahim Razali.

Genre: Seram

Durasi: 2 Jam 1 Minit

Klasifikasi: P13

Tayangan: 30 Ogos 2018



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment