Syabu 1 tan dirampas

Sunday, September 2, 2018

Syabu 1 tan dirampas

Syabu 1 tan dirampas

GEORGETOWN â€" Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki dan merampas syabu bernilai RM54 juta dalam serbuan di Pulau Pinang, Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, bertindak hasil risikan, pasukan JSJN Bukit Aman menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di hadapan sebuah rumah kedai di Bayan Lepas pada pukul 3 petang hari berkenaan.

“Susulan penahanan lelaki yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah itu, polis menyerbu sebuah gudang di Jelutong dan merampas 1,066 kilogram (kg) syabu bernilai RM54 juta.

“Sebahagian dadah itu yang dibungkus dalam plastik teh Cina berada di dalam sebuah lori satu tan manakala selebihnya disimpan dalam premis perniagaan yang dijadikan gudang berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan, dadah itu dibawa masuk ke negara ini sejak dua minggu lepas dari negara jiran dan Pulau Pinang dijadikan tempat transit sebelum dihantar ke negara jiran lain untuk pasaran di negara berkenaan.

Mohmad berkata sindiket itu didapati menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas dan mereka menjadikan premis-premis perniagaan sebagai tempat menyimpan bekalan dadah yang dibawa masuk dari negara jiran.

“Pulau Pinang sebagai hab transit kepada sindiket dadah dengan mengambil kira kedudukannya yang strategik di samping jalan darat dan laut yang agak ‘complicated’ dan mudah untuk mereka melakukan kegiatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, lelaki yang tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohmad berkata bagi tempoh Januari  sehingga 29 Ogos tahun ini, JSJN telah menahan 109,544 orang termasuk 5,711 warga asing yang terlibat dengan dadah dan merampas dadah bernilai RM145.74 juta. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment