Sukan Asia: Kontinjen Malaysia capai prestasi terbaik
KONTINJEN Malaysia mencapai sasaran terbaik pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 apabila mengutip tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa pada edisi ke-18 temasya sukan berkenaan yang akan melabuhkan tirainya di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di sini, malam ini.
Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, kejayaan berkenaan mengatasi pencapaian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan apabila Malaysia hanya berjaya meraih lima mas, 14 perak dan 14 gangsa.
"Kita membahagikan kejayaan kontinjen kita kepada tiga bahagian iaitu prestasi cemerlang, memuaskan dan gagal, " katanya berhubung pencapaian atlet Malaysia pada Asiad 2018 di sini, hari ini.
Sukan yang mencapai taraf cemerlang, kata Abdul Azim, adalah tenpin boling (dua emas dan dua perak), berbasikal trek (satu emas, satu perak dan satu gangsa), skuasy (dua emas, satu perak dan dua gangsa), pelayaran (satu emas dan satu perak serta tiga gangsa) dan sepak takraw (satu emas dan satu perak).
Sukan yang mencapai taraf memuaskan adalah terjun (satu perak dan tiga gangsa), hoki lelaki (satu perak), ekuestrian (satu perak), taekwondo (satu gangsa), memanah (satu gangsa), bola sepak lelaki (mara ke pusingan kedua), bola keranjang 3x3 wanita (mara ke suku akhir), ragbi tujuh sebelah (tempat kelima), paragliding (kelompok lima pasukan terbaik) dan hoki wanita (tempat kelima).
Beliau menyifatkan sukan yang gagal pada kali ini adalah pencak silat, karate, wushu, menembak, renang, renang artistik, olahraga, lawan pedang, golf, judo, sambo, tinju, bridge, gimnastik artistik dan berirama, bola baling, jet ski, kabaddi, ping pong, badminton, kenu/kayak, sukan kasut beroda, mendayung, sukan mendaki, triathlon dan bola tampar pantai.
Abdul Azim turut memuji dua atlet di bawah kategori B (perbelanjaan ditanggung persatuan sukan) yang meraih pingat perak dan gangsa iaitu atlet ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dan pesilat negara, Mohamad Hazim Amzad, sambil memaklumkan enam rekod kebangsaan berjaya diperbaharui pada kali ini iaitu berbasikal trek (satu rekod), memanah (dua rekod) serta renang yang mencatat tiga rekod baharu.
âDua pelayar kita turut berjaya melayakkan diri lebih awal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Khairulnizam Mohd Afendy (Laser Standard) dan Nur Shazrin Mohamad Latif (Laser Radial),â jelasnya yang turut gembira kerana tiada atlet negara yang terlibat dalam penggunaan bahan terlarang pada kali ini.
Pada masa yang sama, Abdul Azim menegaskan beberapa persatuan terlibat terutamanya sukan subjektif seperti wushu, pencak silat ,karate selain badminton, perlu menilai semula keberkesanan program latihan atlet di bawah kelolaan masing-masing yang gagal memberikan impak positif kepada pungutan pingat kontinjen negara.
âPenglibatan sukan kategori B (perbelanjaan ditanggung persatuan) perlu dikaji semula dan mungkin kriteria pemilihan perlu kita perketatkan. Aspek sains sukan yang melibatkan kecergasan dan persediaan mental perlu ditingkatkan,â katanya sambil menambah satu bedah siasat akan dijalankan untuk beberapa sukan yang gagal mencapai sasaran pingat pada kali ini.
Nada sama turut disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang berkata pihaknya akan bekerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan untuk mengkaji keberkesanan program latihan yang digunakan oleh atlet negara pada kali ini.
âKita mengambil tanggungjawab penuh bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dalam prestasi atlet negara pada kali ini.
âMSN akan menyediakan laporan lengkap untuk diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli Lembaga Pengarah MSN,â katanya. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment