Menantu bakar rumah mentua dipenjara

Thursday, September 27, 2018

Menantu bakar rumah mentua dipenjara

Menantu bakar rumah mentua dipenjara

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman enam tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, selepas membakar rumah bapa mentuanya.

Kejadian itu berlaku ekoran bengang terhadap isterinya menuntut cerai.

Mohd Zamro Hassan Ali, 39, mengaku bersalah di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api.

Mohd Zamro didakwa melakukan perbuatan itu di rumah ayah mentuanya di Kampung Mengabang Panjang Batu Rakit, Kuala Nerus, kira-kira jam 6 petang, pada 4 April lalu.

Bagi kesalahan itu, Mohd Zamro boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Berdasarkan fakta kes, semasa berada di rumah ibunya yang terletak di hadapan rumah mangsa,  Mohd Zamro bertengkar dengan isterinya, Zuriana Ya, 34, selepas wanita berkenaan menuntut cerai.

Pertengkaran itu berlarutan sebelum isterinya membuat laporan polis.

Mohd Zamro yang masih tidak berpuas hati mengamuk dan tidak dapat mengawal emosinya sebelum menuju rumah mangsa yang terletak berhadapan dengan rumah ibunya.

Dia cuba dihalang oleh adik beradiknya sehinggalah ke rumah mangsa.

Sejurus masuk ke dalam rumah itu, dia menyalakan api dari dalam bilik tidur utama dan berdiri di tepi telaga berhampiran sambil memerhatikan rumah itu terbakar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isteri minta cerai, lelaki bakar rumah mentua]

Sinar Harian sebelum ini ada melaporkan gara-gara bengang isterinya meminta cerai, seorang lelaki tergamak membakar rumah mertuanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment