Mayat ditemui selepas hilang hampir 24 jam

Wednesday, September 26, 2018

Mayat ditemui selepas hilang hampir 24 jam

Mayat ditemui selepas hilang hampir 24 jam

DUNGUN - Mayat remaja Thailand yang lemas di Lubuk Kain, Kampung Shukor di sini ditemui terapung tadi selepas hampir 24 jam hilang.

Mangsa, Sufar Jehteh, 18, ditemui kira-kira 300 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Jaswari Awang berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 10.10 pagi.

“Operasi malam tadi terpaksa dihentikan kerana keadaan sudah gelap ditambah pula cuaca selepas hujan tapi disambung semula jam 8.00 pagi ini dengan bantuan Unit Scuba.

“Lebih kurang dua jam selepas itu, mayat mangsa yang berasal dari Pattani berjaya ditemui dan usaha membawa naik mangsa dilakukan Unit Scuba dibantu penduduk sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Mayat mangsa yang bekerja di sebuah restoran di Paka itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.

Sementara itu. majikannya, Mujahida Abdullah, 28, berkata, dia tidak sangka niat membawa pekerjanya untuk bercuti dan bergembira berakhir dengan kisah duka.

“Semalam kami tutup restoran dan bawa 12 pekerja untuk berkelah di kawasan hutan lipur ini. Ketika mandi dia bersama tiga rakan naik ke bahagian atas di kawasan lubuk.

“Selepas itu rakan-rakan ajak turun ke bawah tetapi dia tidak mahu dan duduk di atas batu,” katanya.

Menurutnya, dia dan pekerja lain mulai bimbang apabila remaja itu tidak turun ke tapak perkelahan selepas dua jam.

“Selepas yang lain turun, tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan dia tak ada di situ. Disebabkan bimbang perkara tak diingini kami dengan bantuan penduduk berusaha cari tapi gagal,” katanya.

Mujahidan berkata, jenazah Sufar yang sudah enam tahun bekerja dengannya itu akan dihantar balik ke kampungnya untuk dikebumikan.

“Kami sudah maklumkan musibah ini kepada ahli keluarganya dan kami sendiri akan menghantar jenazahnya di sempadan untuk diserahkan kepada keluarga,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment