Janda anak satu disebat 6 kali, jel enam bulan

Thursday, September 27, 2018

Janda anak satu disebat 6 kali, jel enam bulan

Janda anak satu disebat 6 kali, jel enam bulan

KUALA TERENGGANU - Seorang janda anak satu dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini, hari ini, kerana cuba melacurkan diri.

Hukuman itu diputuskan Hakim Tinggi Syarie, Rosdi Harun terhadap wanita berusia 30 tahun yang juga pencanting batik sambilan yang mengaku bersalah atas pertuduhan didakwa ke atasnya itu.

Wanita yang dari Selangor itu didapati melakukan persediaan untuk melacurkan diri apabila ditahan ketika bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya dalam serbuan di sebuah bilik di Hotel Felda Residence, di sini, kira-kira jam 11.45 malam pada 17 September lalu.

Dia yang berasal dari Selangor dan menetap di Kota Bharu, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan  boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman sebatan itu dilaksanakan di tempat wanita tersebut menjalani hukuman penjara iaitu di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan selain memberi tempoh 14 hari membuat rayuan sekiranya tidak berpuas hati dengan hukuman dijatuhkan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal cuba melacur untuk sara anak]

Terdahulu, Rosdi menyuarakan kekecewaan terhadap wanita berkenaan yang tidak menunjukkan tanda keinsafan sepanjang prosiding dijalankan.

“Awak terpaksa memilih pekerjaan ini untuk menyara anak bukannya satu alasan kerana matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Sebelum ini pun, di mahkamah ini banyak rekod suri rumah terpaksa menanggung anak ramai selepas diceraikan suami tapi mereka masih boleh mencari pekerjaan halal.

“Ketika rayuan, langsung tidak ada perkataan awak sudah insaf, bertaubat dan tak nak mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi keluar dari mulut awak. Awak hanya mohon hukuman denda jangan sampai RM3,000 dan langsung tidak membuat rayuan supaya jangan dipenjarakan,” katanya.

Selain itu, Rosdi menegaskan kepada masyarakat yang dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada individu atau mana-mana pihak yang memberi sebarang komen atau kenyataan berkaitan keputusan Mahkamah Syariah yang boleh mengguris hati kerana dianggap menghina mahkamah.

Kes berkenaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah.

Sinar Harian sebelum ini ada melaporkan seorang janda anak satu mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan persediaan untuk melacurkan diri.

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment