'Hanya mampu terbaring'

Sunday, September 16, 2018

'Hanya mampu terbaring'

'Hanya mampu terbaring'

SUNGAI DUA - 'Senyumku tak sekata, gerak langkahku tidak seindah, mataku tak seayu kicau burung pun tak semerdu,' bait bait lagu Namun Ku Punya Hati dendangan Revolvers ini menggambarkan keadaan seorang insan yang dahulunya ceria namun kini hanya mampu terlantar di katil.

Kehidupannya yang selama ini ceria, kini memilukan apabila dia hanya mampu terbaring di katil selepas lumpuh separuh badan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya bulan lalu.

Adnan Mat Kasa, 52, terbabit kemalangan sebaik sahaja pulang membeli barangan niaga pada 18 Ogos lalu.

Kerana kemalangan tersebut, kehidupan Adnan berubah sekelip mata apabila dia kini terpaksa terlantar dengan mengharapkan bantuan alat pernafasan.

Anak ketiganya, Nor Fatihah Adnan,24, berkata berlaku pendarahan pada otak akibat hentakan kuat ekoran daripada kemalangan itu mengakibatkan anggota badan bapanya menjadi separa lumpuh.

"Dalam kemalangan itu kepalanya terhentak di atas permukaan jalan dan menyebabkan berlakunya pendarahan dalam otak.

"Sekaligus mengakibatkan separuh badan abah lumpuh dan tidak dapat bergerak dan hanya mampu terlantar di atas katil,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Adnan yang menunggang motosikalnya terbabit kemalangan dipercayai terlanggar seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas berhampiran kawasan rekreasi dekat Air Hitam.

Adnan yang baru pulang dari membeli barang untuk perniagaan ahli keluarganya di sebuah pasar dikatakan terjatuh hingga berlaku hentakan kuat pada kepalanya.

Nor Fatihah berkata, Adnan perlu menjalani rawatan susulan pada setiap bulan di Hospital Pulau Pinang.

“Kos rawatan abah tidak menjadi masalah namun perbelanjaannya akan meningkat memandangkan kos susu dan lampin pakai buang yang perlu ditanggung sendiri selepas ini.

“Ini kerana, sekarang susu abah diberikan hospital melalui bantuan kebajikan sosial tetapi selepas ini kami perlu beli sendiri dan kosnya agak mahal dan satu tin susu hanya bertahan tidak sampai dua hari,” katanya.

Adnan menerima kunjungan daripada wakil Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang dan Adun Sungai Dua, Muhammad Yusoff Mohd Noor di rumahnya di Nyior Sebatang di sini.

Wakil Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang, Aziz Azizan berkata, pihaknya akan memikirkan inisiatif bagi membantu Adnan.

“Adnan juga bersara tanpa pencen dan apabila menjadi situasi seperti ini sudah tentu memberi bebanan kepada ahli keluarganya.

“Jadi, sebagai wakil dalam persatuan saya akan cuba membantunya demi soal kebajikan kepada ahli dan juga pemain bola sepak yang suatu ketika dahulu berjuang bersama-sama,” katanya.

Adnan yang menyertai Skuad Harimau Kumbang sekitar tahun 1985 meninggalkan arena bola sepak beberapa tahun kemudian sebelum menjadi jurulatih kepada pasukan bola di sebuah sekolah hingga hari ini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment