Malaysia, Singapura kongsi teknologi pengurusan sisa plastik

Thursday, September 27, 2018

Malaysia, Singapura kongsi teknologi pengurusan sisa plastik

Malaysia, Singapura kongsi teknologi pengurusan sisa plastik

PUTRAJAYA - Malaysia dan Singapura bersetuju untuk berkongsi teknologi dan mencari jalan bagi mengurangkan pengurusan sisa, termasuk plastik dan bahan pembungkusan, satu isu yang dianggap penting di peringkat serantau serta antarabangsa, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Sebagai permulaan, beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dan bertukar-tukar pandangan berkaitan teknologi inovatif, yang lebih murah dan kos efektif untuk melupuskan sisa plastik secara berkesan, dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama mengenai Alam Sekitar Malaysia-Singapura  (MSJCE) di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Yeo dan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, yang melawat Malaysia dua hari mulai semalam, atas undangan Bee Yin di bawah program Pertukaran Lawatan Tahunan Malaysia-Singapura ke-31.

"Saya berbincang dengan Singapura tentang kemungkinan bekerjasama dalam pertukaran teknologi yang dapat menyelesaikan masalah itu. Kami berbincang tentang bagaimana kedua-dua negara boleh berganding bahu dan bertukar-tukar cadangan tentang cara untuk menghapuskan sisa plastik yang merosakkan persekitaran kita hari ini.

"Saya amat berharap untuk belajar daripada program Sisa Sifar Singapura, yang mana ia mencabar cara lama apabila menganggapkan bahan buangan sebagai sesuatu yang tiada nilainya dan perlu dibuang. jika kita tidak bertindak sekarang, dunia akan penuh dengan bahan buangan oleh sebab populasi global akan mencecah 10 bilion orang menjelang  2050," katanya dalam sidang akhbar bersama selepas mesyuarat berkenaan.

Selasa lepas, Bee Yin berkata Malaysia menyasarkan untuk tidak lagi menggunakan plastik pakai buang menjelang  2030, ketika negara berusaha untuk membersihkan reputasinya sebagai sebuah daripada penyumbang sisa plastik di dunia.  Malaysia merupakan pengeluar kelapan terbesar sisa  plastik di dunia.

Plastik merupakan jenis bahan buangan kedua terbesar di negara ini selepas makanan.

Bee Yin selanjutnya menjelaskan kerajaan perlu memperhebatkan kempen kesedaran untuk meyakinkan masyarakat supaya menyingkirkan penggunaan plastik daripada kehidupan seharian mereka, dan beliau percaya, teladan ini sepatutnya bermula daripada pemimpin sendiri.

Mengenai jerebu rentas sempadan serantau, Bee Yin berkata kedua-dua negara memuji rakan sejawatan mereka dari  Indonesia yang mengambil penyelesaian yang pantas dan berkesan untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan dengan menugaskan anggota dari agensi berkaitan supaya segera memadamkan kebakaran.

"Indonesia menjalankan tugas yang baik sungguhpun terdapat jerebu ringan di negara ini sekarang. Bagaimanapun saya berharap untuk membincangkan perkara ini dalam mesyuarat menteri-menteri Asean di  Myanmar bulan depan. Paling penting, kami mahu mencari jalan untuk menangani aktiviti pembakaran terbuka secara haram di ladang sawit.

"Kami harap dapat menyelesaikan masalah pembakaran dan jerebu ini dalam usaha membangunkan semula jenama minyak sawit sebagai minyak yang lestari dan efisien, dan dapat memasarkannya di pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Masagos berkata Singapura ketika ini bergerak ke arah trend lestari untuk melaksanakan  Sisa Sifar Singapura sejak empat tahun lepas, yang mana republik berkenaan mendapatkan seberapa banyak sumber daripada bahan  buangan seperti plastik, kertas atau logam.

“Inilah cabaran masa kini bahawa bahan buangan perlu dianggap sebagai potensi sumber.

“Melalui cara ini, ia membantu memulihara sumber kita, mengurangkan pencemaran, mewujudkan peluang pekerjaan dalam pengurusan sisa, mengurangkan kos sisa, meningkatkan jangka hayat loji insinerator, dan mengurangkan perubahan iklim," katanya.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang baharu seperti perubahan iklim, ekonomi pusingan, pencemaran industri dan keselamatan radiasi.

Mereka juga mengesahkan komitmen untuk terus berkongsi pengalaman dalam menangani pencemaran kenderaan, satu isu kepentingan bersama. Kedua-dua negara akan terus bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama dalam perlindungan dan pengurusan alam sekitar di Selat Singapura.  â€" Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment