LGBT boleh terima zakat jika ingin berubah
SEREMBAN - Golongan LGBT boleh menerima zakat sekiranya mereka berhasrat untuk berubah, keluar dan bebas daripada kejahilan.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, tiada masalah jika golongan LGBT sebagai salah seorang penerima zakat, tetapi dengan syarat mereka berazam kembali ke jalan ALLAH SWT.
"Satu daripada golongan asnaf penerima zakat ialah al-riqab, iaitu golongan hamba yang ingin membebaskan diri daripada tuannya.
"Melalui wang zakat, ia boleh digunakan untuk menebus hamba tersebut melepaskan diri daripada terus menjadi hamba, tetapi oleh kerana pada hari ini hamba sudah tiada, maka asnaf hamba diperluaskan kepada konsep perhambaan melibatkan semua mereka yang perlu diselamatkan daripada berterusan dalam kancah maksiat dan kejahilan," katanya, semalam.
Bagaimanapun, mereka yang sengaja melakukan jenayah seperti LGBT dan tidak mahu menghentikannya, mereka tidak berhak menuntut sebarang bahagian daripada wang zakat, sebaliknya mereka yang ingkar itu perlu dicegah dengan hukuman setimpal.
Terdahulu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, beberapa golongan antaranya pelacur, gigolo dan LGBT layak menerima zakat di Selangor.
Katanya, perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 14 Mei 2012 'bersandarkan kebajikan dan kasih sayang dalam lslam supaya golongan berkenaan tidak terpinggir dan berasa seolah-olah didiskriminasi'.
Ia dimasukkan dalam kategori asnaf al-riqab Selangor serta yang berkaitan dengannya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment