Azizulhasni miliki daya tujahan tersembunyi

Thursday, September 6, 2018

Azizulhasni miliki daya tujahan tersembunyi

Azizulhasni miliki daya tujahan tersembunyi

SUKAN Asia 2018 yang baru berakhir di Palembang dan Jakarta, Indonesia Sabtu lalu menyaksikan kelibat seorang pelumba basikal Malaysia.

Mohd Azizulhasni Awang adalah pelumba negara yang telah menghadiahkan tiga pingat termasuk sebutir kilauan emas menerusi acara pecut 200 meter individu dalam acara disiplin trek diadakan di Velodrom Antarabangsa Jakarta di Rawamangun, Jakarta Pusat.

Beliau juga telah menang pingat perak menerusi kategori pecutan berpasukan (team sprint) dan gangsa acara keirin. Kejayaan tersebut telah menyaksikan beliau muncul antara pelumba elit lelaki yang berjaya meraih tiga pingat menerusi disiplin trek di Sukan Asia 2018. Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan saiz yang dimiliki oleh Azizulhasni bukanlah faktor penghalang untuk beliau mencapai kejayaan.

Istimewanya Azizulhasni adalah kerana beliau seorang pelumba yang hanya setinggi 1.66 meter. Pesaingnya rata-rata berbadan tegap dan memiliki ketinggian lebih 1.85 meter termasuk legenda pelumba trek Britain, Sir Chris Hoy yang pernah menyaksikan beliau hampir dimalukan oleh Azizulhasni di Sukan Komanwel 2010 di Glasgow, Scotland.

Pada April 2017, Azizulhasni telah dinobatkan sebagai juara dunia dalam acara keirin di Kejohanan Trek Sedunia 2017 di Velodrome Hong Kong. Beliau berjaya menewaskan deretan pelumba yang jauh berbadan sasa dan majoriti memiliki ketinggian lebih 1.85m. Persoalannya sekarang adalah bagaimana seorang pelumba cilik susuk tubuh dan ketinggiannya, boleh menewaskan deretan pesaing jauh berbadan besar dan tinggi lampai.

Inilah yang dinamakan daya kuasa. Penulis telah menemui Azizulhasni sebulan sebelum beliau bertarung pada Sukan Asia 2018. Pertemuan dengan Azizulhasni di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan ketika itu adalah untuk membincangkan penyelidikan yang sedang dilakukan oleh penulis. Pada ketika ini, penulis sedang mengkaji tentang rahsia daya kayuhan yang dimiliki oleh kaki Azizulhasni.

Penulis mendapati daya kuasa kayuhan dalaman Azizulhasni adalah melebihi 2,500 Watt pada kadar pusingan pedal 135 pusingan seminit. Kajian ini adalah berdasarkan catatan masa beliau dalam acara 200m pecutan individu di Beijing pada 2010. Catatan masa beliau pada ketika itu adalah 10.073 saat atau kelajuan 71.5 km/j. Kajian penulis mendapati Azizulhasni mempunyai daya sesondol (cam) yang tersembunyi dalam kayuhan seperti aci sesondol (camshaft) enjin sebuah kereta.

Kajian tentang daya kuasa yang dimiliki manusia sebenarnya telah dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam Surah Al-Qasas [28:35]: “Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang”.

ALLAH berfirman dalam Surah Al-A’raf [7:69]: “Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, melalui seorang lelaki daripada golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika ALLAH menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan ALLAH telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat ALLAH supaya kamu berjaya”

Dua ayat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa manusia memiliki kuasa dalaman yang boleh menghadiahkan kejayaan kepada seseorang. Bertitik tolak daripada ayat tersebut, tidak hairanlah kalau Azizulhasni boleh muncul sebagai juara dunia dalam acara keirin di Kejohanan Trek Sedunia 2017 meskipun hanya berfizikal kecil berbanding pelumba Perancis, Jerman atau Australia.

Penulis kini juga sedang menyiapkan kajian tentang kekuatan dalaman yang dimiliki oleh pelumba Asia bersaiz sederhana dari Jepun, Thailand, Korea Selatan dan China. Kajian tersebut memfokuskan kepada pelumba bersaiz kecil atau sederhana yang memiliki daya tujahan dalaman tersembunyi dalam aci sesondol berbanding pelumba bersaiz besar dan tinggi lampai.

Sekiranya keadaan mengizinkan, penulis akan membentangkan hasil dapatan kajian ini kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Sebagai permulaan, penulis telah pun dipilih oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) untuk Kongres UCI 2018 yang akan diadakan di Innsbruck, Austria pada 26 September ini. Penulis bercadang untuk mengkaji daya tujahan dalaman dimiliki pelumba Eropah yang bersaing dalam Kejohanan Lebuhraya Sedunia 2018 yang diadakan di Innsbruck nanti.

Penulis berharap hasil kajian ini boleh diterbitkan untuk dijadikan cetusan perangsang kepada pelumba bersaiz kecil yang ada di Malaysia. Kejayaan Azizulhasni sebenarnya telah dinyatakan oleh al-Quran. Dua ayat di atas membuktikan bahawa al-Quran telah menjelaskan bahawa saiz bukannya satu faktor penghalang kepada pelumba bersaiz kecil atau sederhana untuk berjaya pada peringkat dunia seperti yang telah dibuktikan oleh Azizulhasni ketika muncul sebagai juara dunia dalam acara keirin.

Kesimpulannya, kejayaan atlit sukan yang bersaiz kecil termasuk pemain bola sepak adalah terjamin kerana al-Quran telah memberi jaminan ini sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Al-Qasas dan Al-A’raf. Pesanan penulis kepada Azizulhasni, manfaatkanlah daya tujahan ajaib yang dimilikinya untuk menakluki dunia. Meskipun sudah melepasi usia 30-an, namun penulis percaya Azizulhasni masih mempunyai masa untuk terus menggegarkan dunia.

* Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment