Anwar tidak bimbang Isa Samad tanding PRK Port Dickson

Thursday, September 27, 2018

Anwar tidak bimbang Isa Samad tanding PRK Port Dickson

Anwar tidak bimbang Isa Samad tanding PRK Port Dickson

SEREMBAN - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap keputusan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, bukan satu cabaran.

Pada masa sama, Anwar berkata tiada halangan kepada mana-mana individu atau parti politik yang ingin meletakkan calon bertanding PRK Port Dickson itu kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

“Itu hak dia sebagai rakyat, saya tidak mahu komen, dalam sistem demokrasi rakyat putuskan.

“Dia bermasalah dan diketahui umum, biar rakyat putuskan sebaiknya,” kata beliau kepada pemberita ketika menghadiri tayangan khas filem Tamil, Chekka Chivantha Vaanam di sini, malam ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mohd Isa hari ini yang mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Parlimen Port Dickson.

Dalam pada itu, Anwar enggan mengulas kemungkinan individu lain yang turut menjadi calon pada PRK itu, antaranya bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekas senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isa Samad tanding PRK Port Dickson]

Sementara itu, Anwar mengingatkan semua calon yang bertanding pada PRK tersebut agar mematuhi peraturan ditetapkan.

“Saya juga sudah beritahu rakan-rakan jangan gunakan jentera kerajaan, biar badan bukan kerajaan atau badan parti politik bekerjasama,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Turut hadir semasa tayangan filem berkenaan, Danyal Balagopal. â€" Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment