Tingkat elaun guru Kafa

Tuesday, July 3, 2018

Tingkat elaun guru Kafa

Tingkat elaun guru Kafa

KEPALA BATAS - "Secara peribadinya saya menyokong penuh berkaitan elaun guru-guru Kafa agar ia dapat dinaikkan!" Demikian kata Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Zakiyuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai elaun guru Kafa yang ketika ini sebanyak RM950 sebulan.

Zakiyuddin berkata, elaun yang diterima selama ini disifatkan terlalu rendah dan beliau sering mendengar keluhan mengenai perkara itu.

“Saya berpendapat jumlah tersebut agak rendah berbanding sektor-sektor yang lain dan masa sama saya perlu melihat secara keseluruhannya.

“Saya amat menyokong sekiranya kita dapat meningkatkan elaun kepada guru-guru Kafa ini, memandangkan sumbangan mereka yang begitu banyak dengan bidang tugas mereka yang perlu dipikul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Amanat Timbalan Ketua Menteri 1 kepada guru besar dan penyelaras Kafa Negeri Pulau Pinang di Dewan Millenium Kepala Batas semalam.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat berkata, pihaknya akan berusaha dan mengkaji usul kenaikan tersebut.

“Kita akan tengok ruang-ruang yang ada dan bukan sahaja akan dibawa kepada kerajaan negeri, malah kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Jabatan Kemajuan Islam   (Jakim) untuk kita tingkatkan lagi elaun kepada guru-guru Kafa ini,” katanya.

Zakiyuddin berkata, guru-guru Kafa telah memainkan peranan yang berkesan dalam memberikan khidmat yang terbaik untuk mendidik anak-anak, selain menggerakkan tujuan dan  matlamat pendidikan Kafa itu sendiri.

“Dalam agenda portfolio agama Islam dan sebagai penerajunya, Insya-ALLAH saya akan memperkembangkan sumbangan pendidikan untuk peringkat awal usia seseorang insan itu kerana mereka ini merupakan pewaris kepada pimpinan masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, ia merupakan aspek penting dalam pendidikan awal kepada anak-anak.

“Yang penting kita berikan pendidikan asas agama yang betul supaya ummah yang  baik dapat kita bentuk pada masa akan datang.

“Dengan didikan agama yang diterapkan, mereka dapat membezakan mana yang baik atau buruk untuk  dijadikan pedoman dalam kehidupan mereka,” katanya.

Turut hadir sama dalam majlis ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad serta Penasihat Kafa Negeri Pulau Pinang Subki Mohamad.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment