MPSP ke arah status bandar raya

Monday, July 2, 2018

MPSP ke arah status bandar raya

MPSP ke arah status bandar raya

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan negeri berhasrat untuk menaiktaraf status Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai sebuah bandar raya sepertimana yang dicapai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2015.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan membuat semakan dan permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung perkara itu selepas hasrat untuk menjadikan MPSP bertaraf bandar raya sebelum ini tidak dapat dilakukan.

Menurutnya, permohonan MPSP untuk mendapatkan status bandar raya sudah lama diusulkan namun disebabkan dasar yang mengehadkan satu negeri hanya satu PBT sahaja yang boleh dinaiktaraf maka hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

Kon Yeow berkata, bagi memastikan hasrat itu terlaksana, kerajaan negeri mahu mencuba sekali lagi untuk menaiktaraf MPSP sebagai bandar raya dengan berharap kerajaan persekutuan melalui KPKT dapat mengkaji semula dasar itu.

“Di negeri lain terdapat lebih daripada satu pihak berkuasa tempatan yang mendapat taraf bandar raya seperti di Selangor dan Sarawak.

“Dengan pentadbiran kerajaan baharu pada masa kini, kita akan minta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo untuk membuat semakan dengan kementerian apakah status terkini dan adakah masih mengekalkan dasar lama iaitu satu negeri satu bandar raya,” katanya ketika ditemui media selepas majlis angkat sumpah dan penerimaan jawatan ahli majlis di bangunan MPSP, di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, MPSP sejak 2008 lagi telah memenuhi spesifikasi dan syarat untuk dinaiktaraf sebagai bandar raya.

Menurutnya, antara spesifikasi yang perlu dipenuhi untuk mendapat status bandar raya seperti perlu mendapat hasil pendapatan melebihi RM100 juta, mempunyai kemudahan sosial, pendidikan, jalan dan infrastruktur yang mencukupi selain keluasan kawasan dan kepadatan penduduk.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis angkat sumpah dan penerimaan jawatan ahli majlis MPSP, Kon Yeow berkata seramai 24 ahli majlis dari kalangan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dilantik memegang jawatan Ahli Majlis MPSP untuk berkhidmat mulai 1 Julai ini hingga 31 Disember tahun hadapan.

Daripada jumlah itu, 11 adalah muka baharu terdiri daripada wakil parti Amanah , DAP,  Bersatu  dan NGO.

Kon Yeow berkata, kesemua Ahli Majlis yang dilantik diharap dapat berkhidmat dengan baik sesuai dengan keadaan politik baharu yang menegaskan budaya serta amalan integriti, beretika dan pentadbiran yang bersih.

“Budaya politik baru perlu tegaskan etika pentadbiran yang bersih dan diharap ahli majlis memandang serius perkara ini.

“Kita tidak mahu menghancurkan harapan dan aspirasi rakyat yang mahu lihat negara lebih baik. Ahli majlis, Adun dan Exco serta JKKK perlu menyerap budaya yang sihat dan buktikan kita lebih baik daripada pentadbiran kerajaan sebelum ini,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment