Motosikal pun kena kapit

Tuesday, July 3, 2018

Motosikal pun kena kapit

Motosikal pun kena kapit

SUBANG JAYA - Jika anda sebagai penunggang motosikal sering mengambil ringan hal meletakkan motosikal sesuka hati disebabkan saiz kenderaan yang kecil, lebih baik anda fikir terlebih dahulu.

Ini kerana bermula hari ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mula melaksanakan operasi kapit motosikal yang didapati diletakkan di tempat yang tidak dibenarkan dan menyebabkan halangan.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan, berkata, tindakan dikenali sebagai Program E-Grip itu merupakan projek perintis dalam pengurusan lalu lintas agar lebih teratur dan sistematik.

Menurutnya, dengan tindakan itu juga, ia bagi menyelesaikan permasalahan berkaitan parkir motosikal yang menyebabkan halangan umpamanya menghalang petak khas, petak letak kereta, petak pili bomba, petak parkir OKU dan siar kaki lima.

“Alat kunci ini diilhamkan oleh jabatan sendiri, tindakan penguat kuasaan ini ditumpukan di kawasan yang banyak aduan dan kritikal. Pemilik motosikal yang didapati melanggar peraturan ditetapkan akan dikenakan tindakan bawah Perintah Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPSJ 2007 (Pindaan 2015) di mana kapit motosikal (clamping) serta tindakan Notis Tawaran Kompaun akan dikenakan kepada pesalah.

“Cas sebanyak RM30 meliputi kos kapit (RM5), Notis Tawaran Kompaun (RM20) serta caj perkhidmatan (RM5) dikenakan,” katanya.

Tindakan kapit motosikal tersebut dimulakan di Bandar Sunway selepas tindakan awal dibuat di kawasan ibu pejabat MPSJ.

Noraini, berkata, dengan tindakan itu juga pihaknya turut mengkaji keperluan menambah tempat letak motosikal di kawasan tersebut.

Ujarnya, pihaknya akan mengenal pasti tempat dan sudut sesuai untuk keperluan itu memastikan pengguna motosikal dapat memanfaatkan ruang sewajarnya.

“Bagaimanapun kita mahu ingatkan kepada pemilik motosikal yang dikenakan tindakan agar berurusan dengan anggota penguat kuasa bertugas untuk membuat bayaran kompaun dan tidak mengambil tindakan sendiri membuka kunci berkenaan. Jika tidak, dia boleh dikenakan tindakan bawa kesalahan vandalisme, dan perlu bayar denda sehingga RM1,000,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kurang 10 peratus pesalah trafik yang memanfaatkan tawaran diskaun kompaun tertunggak yang telah tamat.

“Sejumlah RM80 juta tunggakan direkodkan namun hanya lapan peratus yang ambil peluang untuk bayar dalam tempoh tawaran diskaun,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment