Malaysia-Indonesia komited selesaikan isu persempadanan
JAKARTA - Malaysia dan Indonesia sepakat untuk memberi keutamaan dan mempertingkatkan usaha penyelesaian berbagai polemik persempadanan termasuk isu tuntutan wilayah maritim antara kedua negara dengan segera.
Komitmen itu dinyatakan oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi dalam sidang media bersama selepas mengadakan dialog dua hala, di sini hari ini.
รขIsu berkaitan persempadanan ini (kawasan sempadan tertentu di laut dan darat) akan kita selesaikan satu persatu dan akan disegerakan," kata Saifuddin yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke Indonesia sejak Sabtu lalu.
Beliau yakin hubungan akrab kedua-dua negara akan memudahkan penyelesaian terhadap apa jua permasalahan yang dihadapi kedua-dua negara.
"Saya dan ibu Retno (Menteri Luar Indonesia) juga kini sudah saling ber "whatsapps"," kata Saifuddin yang baru menjawat jawatan itu 2 Julai lepas.
Retno pula berkata Indonesia komited untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu.
"Kami meletakkan komitmen yang kuat untuk terus tingkatkan hubungan dengan Malaysia," katanya.
Retno berkata dalam perbincangan dua hala itu, selain isu persempadanan, mereka juga membincangkan hal berkaitan kebajikan tenaga kerja Indonesia di Malaysia serta isu industri sawit yang kini mendapat tekanan daripada Eropah.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata kedua-dua negara, selaku 80 peratus pengeluar minyak sawit dunia, akan bekerjasama dalam menangkis serangan terhadap kempen antiminyak sawit dan produk bahan bakar biosawit di Eropah. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment