Harapan belia Malaysia dan Komanwel

Saturday, July 21, 2018

Harapan belia Malaysia dan Komanwel

Harapan belia Malaysia dan Komanwel

BARU-BARU ini saya telah dijemput untuk menyertai perbincangan meja bulat pemimpin-pemimpin belia yang dianjurkan oleh Pusat Inovasi Belia Komanwel dan Sekretariat Komanwel. Rata-rata yang hadir adalah pemimpin belia daripada pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) belia termasuk juga individu yang tidak mewakili mana-mana organisasi.

Perbincangan diadakan di pejabat Persatuan Komanwel Diraja (RCS) cawangan Malaysia yang terletak di Bukit Damansara. Kishva Ambigapathy, Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) dan Sushil Ram, Pengurus Projek Sekretariat Komanwel menjadi moderator bersama dalam perbincangan pemimpin belia pasca PRU14.

Kishva adalah anak kelahiran Perak dan menjadi belia pertama dari Malaysia dan juga rantau Asia Pasifik yang memegang jawatan sebagai Pengerusi CYC, pertubuhan rasmi belia bagi negara-negara Komanwel. Beliau juga merupakan penerima biasiswa Chevening yang ditaja Pejabat Komanwel dan Luar Negara di bawah kerajaan United Kingdom.

Kedua-dua moderator memulakan perbincangan dengan memberikan sedikit penerangan mengenai organisasi berkaitan Komanwel dan peranan yang dimainkan di Malaysia. Secara umumnya, mereka banyak menjalinkan kerjasama dengan kerajaan di peringkat persekutuan di samping jalinan kerjasama yang turut dibentuk bersama NGO.

CYC sendiri sebagai organisasi Komanwel untuk belia turut membina jaringan kerjasama melibatkan persatuan belia nasional dan tempatan. Menariknya, setiap CYC yang ada di negara Komanwel diiktiraf oleh setiap kerajaan dengan wakil mereka dijemput dalam mesyuarat kementerian berkaitan belia di negara masing-masing.

Rata-rata peserta perbincangan menampakkan sifat teruja mereka melihat angin perubahan yang melanda Malaysia. Besar harapan mereka agar Malaysia baharu ini bukan sahaja terhad kepada pertukaran kerajaan di peringkat nasional dan negeri, malah mereka mengharapkan agar rakyat di negara ini berubah menjadi lebih matang dan positif.

Mereka mahu angin perubahan diterjemahkan ke dalam bentuk masyarakat Malaysia yang lebih terbuka dan toleransi dalam aspek hubungan antara kaum. Ada yang berpendapat sudah sama masanya parti politik berasaskan kaum digantikan dengan politik yang bersifat inklusif tanpa mengambil kira identiti bangsa dan budaya.

Pelbagai isu dan pandangan telah diutarakan. Antaranya termasuklah masalah pemilikan perumahan mampu milik yang semakin kritikal yang membelenggu orang muda terutamanya mereka yang baru memulakan kerjaya.

Ramai berpandangan permasalahan yang melanda belia masih kurang diberi perhatian dan ini sedikit sebanyak banyak berpunca daripada kurangnya maklumat dalam bentuk data dan statistik tentang isu-isu penting berkaitan generasi muda.

Apabila membicarakan tentang Komanwel, peserta berpendapat rata-rata rakyat Malaysia termasuk para belia masih kurang pendedahan mengenai peranan dan aktiviti yang dilakukan pertubuhan di negara ini. Mereka berharap Sekretariat Komanwel terutamanya CYC dapat bergerak lebih aktif untuk turun padang sehingga ke  kampung-kampung dan mewujudkan kelab-kelab belia Komanwel di seluruh negara.

Dalam menyokong agenda pembangunan inklusif, peserta mencadangkan agar para belia di luar bandar diberi lebih banyak peluang untuk menghadiri mesyuarat dan persidangan berkaitan Komandwel dalam dan luar negara dengan diberi tajaan atau dana khas.

Turut dicadangkan agar diwujudkan platform untuk belia membahaskan perkara-perkara yang telah diputuskan di Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel sebagai satu bentuk penyertaan belia dalam proses membuat keputusan.

Para peserta perbincangan meja bulat bersetuju bahawa banyak manfaat yang boleh diperoleh oleh negara selaku anggota Komanwel. Lebih banyak integrasi antara Malaysia dan negara anggota lain perlu dilakukan agar kita boleh mempelajari atau menerima pakai model negara lain berkaitan penyelesaian sesuatu isu atau permasalahan.

Perbincangan yang berlangsung lebih dua jam terasa cepat berlalu. Saya berharap agar segala permasalahan, input dan cadangan yang diutarakan oleh saya dan peserta lain dapat dilorongkan ke arah menjadikan Malaysia baharu, khususnya belia bersama Komanwel, masa depan yang lebih cerah dan sejahtera.

* Penulis ialah Penganalisis Kanan, Institut Darul Ridzuan (badan pemikir kerajaan negeri Perak)/nadzri@idrperak.com



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment