Tiga maut gempa bumi landa Bali dan Pulau Jawa

Wednesday, October 10, 2018

Tiga maut gempa bumi landa Bali dan Pulau Jawa

Tiga maut gempa bumi landa Bali dan Pulau Jawa

BALI - INDONESIA. Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan maut apabila gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda kepulauan Jawa dan Bali awal pagi ini, kata pegawai kerajaan.

Menurut jurucakap agensi mitigasi bencana nasional Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho, mangsa di daerah Sumenep, Jawa Timur maut akibat ditimbus runtuhan bangunan.

"Gempa terbabit terjadi awal pagi ketika kebanyakan penduduk sedang tidur, ia berlaku secara tiba-tiba dan mereka tidak sempat menyelamatkan diri," katanya sambil menambah kerosakan akibat gegaran tidak meluas.

Gempa di Denpasar yang terletak di pulau peranginan Bali menyebabkan penduduk yang panik lari meninggalkan bangunan.

Sementara itu, tetamu Hotel Nusa Dua, terletak di selatan lapangan terbang antarabangsa utama di Bali, turut berlari keluar apabila gempa menggegarkan bangunan hotel.

Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa itu terletak 40 kilometer di timur Sumberanyar di Pulau Jawa.

Gempa turut dirasai di Surabaya, kira-kira 200 kilometer dari Situbondo, bandar paling hampir dengan pusat gempa berkenaan.

Ketua badan geofizik Indonesia, Dwikorita Karnawati berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa terbabit.

Terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, Indonesia kerap dilanda gempa bumi, terbaharu dan terburuk setakat ini adalah pada 28 September lalu, apabila Sulawesi dilanda gempa berkekuatan 7.5 magnitud disusuli tsunami yang setakat ini mengorbankan lebih 2000 nyawa. - AFP



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment