Konon disamun, rupanya nak elak denda

Thursday, October 11, 2018

Konon disamun, rupanya nak elak denda

Konon disamun, rupanya nak elak denda

SUBANG JAYA - Kononnya disamun namun sebenarnya mahu mengelak denda dikenakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akibat kehilangan MyKad.

Itu dilakukan seorang tukang masak yang akhirnya bawa padah kepada diri sendiri.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, lelaki terbabit membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong memaklumkan dia 'disamun' pada jam jam 4.23 petang, semalam.

Menurut tukang masak itu, tiga lelaki membawa lari MyKad, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM450 ketika dia berada di Jalan SP3/11, Taman Saujana Puchong.

Hasil semakan mendapati lelaki tersebut pernah membuat laporan polis sebanyak lima kali sebelum ini berhubung kehilangan MyKad.

"Tiga kali laporan dia dakwa MyKadnya tercicir manakala dua kali lagi dia kata kena samun.

"Kejadian samun sebenarnya tidak berlaku sebaliknya lelaki terbabit mahu elak bayar denda kepada JPN disebabkan kehilangan kad pengenalannya," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Subang Jaya membuat laporan polis berkaitan laporan polis palsu dibuat pengadu dan kes disiasat bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu.

Mohammad Azlin dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenangnya membuat laporan polis palsu.

"Jangan sebab nak elak denda sanggup buat laporan palsu. Padah lebih buruk sebab hukuman lebih berat dan sabitan mahkamah akan kekal sebagai rekod jenayah.

"Saya kesal perbuatan ini masih lagi berlaku walau beberapa kali ingatan dan amaran sudah diberi menerusi media massa,"katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment