MB arah Exco, Adun bersiap sedia

Thursday, October 11, 2018

MB arah Exco, Adun bersiap sedia

MB arah Exco, Adun bersiap sedia

KUALA KANGSAR -  Kerajaan Perak terus memantau situasi banjir di negeri ini bagi melihat bentuk bantuan yang akan diberikan.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, peruntukan kecemasan telah diberikan kepada pejabat-pejabat daerah bagi menangani situasi banjir ini.

Beliau berkata, semua agensi kerajaan yang terlibat juga bersedia menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

"Pada mesyuarat exco semalam saya dah beri peringatan kepada semua agensi, exco, Adun-adun dan penyelaras Dun  untuk bersiap sedia dalam musim tengkujuh sekarang ini.

"Kita akan sentiasa memantau jika ada bantuan-bantuan lain yang diperlukan,' katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Bijak Prasekolah Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Muzwin,  di sini, hari ini.

Hadir sama pada program tersebut, Exco Kerajaan Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan pegawai Jabatan Pendidikan Perak.

Semalam, satu pusat pemindahan sementara dibuka di SK Changkat Jong,  Teluk Intan berikutan banjir melanda tiga kampung iaitu Kampung Batu 7, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9 di Mukim Changkat Jong.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bayi kembar antara mangsa banjir]

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal turut memuji tindakan pantas Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak yang segera membuka pusat pemindahan sementara itu.

"Saya bersyukur Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak telah mengambil tindakan segera membantu mangsa banjir.

"Sebenarnya semua agensi telah bersiap sedia cuma ketika ini kita beri peringatan serius supaya mereka berjaga-jaga jika berlaku banjir," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment