iGuru bantah cadangan cuti berperingkat

Thursday, October 11, 2018

iGuru bantah cadangan cuti berperingkat

iGuru bantah cadangan cuti berperingkat

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) bantah cadangan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk melaksanakan cuti sekolah secara berperingkat antara negeri.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana Kementerian Pendidikan telah pun menetapkan jadual persekolahan yang seragam untuk semua.

“Bukan itu saja, jadual peperiksaan, aktiviti kokurikulum dan sukan pun semuanya diselaraskan di peringkat kebangsaan.

“Jika cadangan itu dilaksanakan ia akan menyukarkan ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah yang berbeza negeri, terutamanya berasrama penuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sistem cuti persekolahan sedia ada sudah baik dan memudahkan ibu bapa merancang cuti terutamanya yang bekerja di dalam satu bidang.

Beliau berkata, kementerian berkenaan sepatutnya mendapatkan pandangan daripada Kementerian Pendidikan, ibu bapa dan warga pendidik sebelum mengemukakan cadangan itu.

“iGuru yakin sektor pelancongan akan terus menjana ekonomi negara dan saya berpendapat waktu cuti sekolah bukanlah faktor utama menggalakkan sektor pelancongan.

“Masih banyak faktor lain yang boleh menjana sektor pelancongan seperti iklim politik, kemudahan, infrastruktur, pakej yang ditawarkan serta integriti kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, mencadangkan supaya cuti sekolah bagi tiga penggal pertama persekolahan dibuat secara berperingkat mengikut negeri yang biasanya pada Mac, Jun dan September.

“Mungkin kita boleh bahagikan negeri di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri ini berbeza antara satu sama lain.

“Dengan cuti sekolah secara berperingkat ini, kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa dan bukannya seperti keadaan sekarang apabila keadaan menjadi terlalu sesak menjelang tiba cuti sekolah," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment