Raih 17 emas pencapaian terbaik atlet luar biasa negara

Saturday, October 13, 2018

Raih 17 emas pencapaian terbaik atlet luar biasa negara

Raih 17 emas pencapaian terbaik atlet luar biasa negara

MALAYSIA menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 dengan meraih 17 pingat emas, pencapaian terbaik mengatasi temasya sebelum ini di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Selepas mencapai sasaran 15 pingat semalam, atlet luar biasa negara meraih dua lagi emas dalam acara berbasikal final hari ini.

Ratu basikal negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zaid, 20, meraih emas ketiganya menerusi acara trek wanita kategori B, selepas menyumbang dua emas dalam acara kejar mengejar individu wanita 3,000m dan lumba lebuh raya kategori B wanita sebelum ini.

Emas kedua hari ini atau ke-17 untuk negara diraih pelumba para basikal, Muhammad Afiq Afify Rizan dalam acara trek lelaki B 1km yang juga berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta.

Malaysia menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 di kedudukan kelapan dengan meraih 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa. Pada Sukan Para Asia di Incheon 2014, Malaysia memperoleh 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa.

Di Jakarta 2018, Malaysia meraih lapan emas dalam para olahraga, lima emas (basikal), dua emas (tenpin boling), dan masing-masing satu emas dalam sukan renang dan ping pong.

Sukan olahraga yang menyumbang pingat paling banyak turut gemilang dengan kejayaan dua atlet hebat negara,  Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Puzi yang mencatatkan dua rekod baharu dunia.

Abdul Latif mencatatkan rekod baharu dunia dalam acara lompat Jauh T20 (7.64 m) manakala Mohamad Ridzuan, mencatatkan rekod baharu dunia dalam acara lari 100 M T36 (11.87 s).

Sukan Para Asia 2018 disertai 43 negara yang dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo pada 6 Oktober lalu, akan ditutup secara rasmi oleh Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla di Stadium Madya, Kompleks Gelora Bung Karno, jam 7 malam ini. - Bernama

INFO

Malaysia menyertai 15 daripada 18 acara sukan yang dipertandingkan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment