Naik caj penggantian kepada pemaju gagal

Friday, October 12, 2018

Naik caj penggantian kepada pemaju gagal

Naik caj penggantian kepada pemaju gagal

JOHOR BAHRU - Kadar caj penggantian kepada pemaju perumahan mungkin akan dinaikkan sekiranya gagal membina rumah mampu milik di negeri ini.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu adalah mengikut seperti diperkenalkan menerusi Rancangan Kebenaran Merancang (RKM) oleh pihak berkuasa tempatan dan Serah Balik Kurnia Semula (SBKS).

"Kita juga akan membuat perubahan daripada segi tempoh bila pemaju perlu memulakan pembinaan dan pembahagian fasa-fasa rumah mampu milik. Tujuannya adalah kita tidak mahu berlaku projek ini jadi rumah yang terakhir dibina atau langsung tidak dibina.

"Jadi kita mahu komitmen daripada pemaju supaya mereka dapat berikan kerjasama kepada kerajaan. Ia adalah usaha untuk mencapai sasaran 100,000 rumah mampu milik akan dibina menjelang 2023," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Johor Bahru, di tempat letak kereta Perling Mall, di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, kesemua projek terbabit adalah melibatkan program rumah mampu milik baharu yang proses permohonannya boleh diakses melalui sistem pengagihan terkini berkuatkuasa Ogos lalu.

Dalam masa sama, beliau berkata, proses permohonan rumah mampu milik di negeri akan dilaksanakan satu sistem penentuan kelayakan untuk mengetahui pembeli layak atau tidak mendapatkan pinjaman perumahan.

"Kita akan buat satu sistem pengiraan kewangan dan minta pemohon buat pengesahan secara sukarela mengenai pendapatan dan kewangan mereka. Pemohon perlu nyatakan berapa gaji termasuk komitmen bulanan sedia ada.

"Akhirnya nanti, sistem ini akan menentukan terus sama ada pemohon layak ataupun tidak. Sesiapa yang belum layak tidak akan disertakan dalam senarai pilihan, kalau tidak kita akan membuang masa yang mana ia juga mendatangkan kerugian di peringkat pemaju perumahan," katanya.

Tambahnya lagi, senarai pemilihan diberikan peluang kepada mereka yang mempunyai 80 peratus kelayakan untuk mendapatkan pinjaman bank.

"Dulu, bila kita tidak lakukan saringan kewangan untuk pinjaman, terdapat 20 hingga 30 peratus pemohon yang telah mendapat Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) gagal mendapatkan pinjaman bank.

"Kita tidak mahu bila dah serah SLMR iaitu sah sehingga tiga bulan sehingga pinjaman diperoleh, akhirnya gagal. Lepas itu kita perlu ambil semula dan tawarkan kepada orang lain, ia hanya menambah masa," katanya.

Menurutnya, tempoh berlarutan itu sekali gus dilihat memberikan impak negatif kepada pembangunan perumahan di negeri selain turut menjejaskan pengaliran wang khususnya di peringkat pemaju.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment