DAP gubal kod etika semua wakil rakyatnya

Friday, October 12, 2018

DAP gubal kod etika semua wakil rakyatnya

DAP gubal kod etika semua wakil rakyatnya

GEORGETOWN - DAP sedang dalam proses menggubal kod etika untuk wakil rakyatnya sebagai garis panduan untuk berhadapan dengan rakyat.

Naib pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, sebagai wakil rakyat, sikap sabar berhadapan dengan masalah rakyat merupakan perkara penting.

"Sebagai wakil rakyat yang mempunyai jawatan dalam kerajaan atau wakil rakyat biasa, sikap sabar sangat penting.

"Oleh itu, parti kini sedang menggubal kod etika untuk dijadikan garis panduan kepada semua wakil rakyat DAP seluruh negara. Ini amat penting, tambahan pula kita kini sebagai kerajaan," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2018 peringkat Pulau Pinang di Batu Uban, di sini, hari ini.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata demikian bagi mengulas mengenai sikap kasar Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee dalam menguruskan masalah rakyat baru-baru ini.

Ditanya sama ada DAP akan memanggil Norhizam untuk bersemuka, Kon Yeow berkata, ia tidak perlu kerana sudah diselesaikan di peringkat negeri.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh tutup jalan tercetusnya perbalahan]

Terdahulu, tersebar video yang memaparkan perlakuan Norhizam terhadap beberapa penduduk kampung berhubung isu penutupan jalan di Taman Akasia, Melaka yang mengundang kemarahan netizen.

Rata-rata mengecam cara Norhizam menyelesaikan aduan yang dikemukakan rakyat kerana dianggap kasar dan tidak berhemah.

Bagaimanapun Norhizam berkata, beliau perlu bertindak tegas kerana isu yang dibangkitkan membabitkan keselamatan rakyat.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment