Bekas JKKKP usahakan tanaman lada solok

Wednesday, October 10, 2018

Bekas JKKKP usahakan tanaman lada solok

Bekas JKKKP usahakan tanaman lada solok

MACHANG - Bertitik tolak daripada pertukaran kerajaan pada PRU14 lalu, bekas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Temangan dekat sini, sepakat mengusahakan tanaman cili fertigasi bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai JKKKP, mereka tetap bekerjasama dan mengekalkan hubungan baik dengan mengusahakan tanaman lada solok di Kampung Pangkal Chuit di sini.

Bermula dari bawah, mereka memulakan Projek Lada Kirawang Batu Kawi dengan 2,288 pokok melibatkan enam JKKKP diketuai bekas Pengerusi JKKKP Kampung Raja, Suhaimi Mohamad.

Suhaimi berkata, pengalamannya sebagai usahawan pertanian bagi tanaman cili dikongsi bersama lima rakan lain dalam usaha meningkatkan pendapatan masing-masing.

“Kami bermula awal Julai lepas dan alhamdulillah hasil bagi projek pertama sudah mula dituai sejak beberapa minggu lalu. Projek ini juga terus dikembangkan dan sehingga kini melibatkan tiga fasa berbeza.

Projek yang bermula Julai lepas sudah pun mengeluarkan hasil

“Kami turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan yang lain sekalipun tidak terlibat secara langsung dalam mengusahakan tanaman ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Suhaimi berkata, pelbagai cabaran ditempuhi bagi menjayakan projek tersebut terutama masalah penyakit.

Katanya, walaupun mempunyai pengalaman, dia sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dengan bertanya mereka yang lebih arif.

“Bidang pertanian mempunyai peluang yang luas namun memerlukan ilmu untuk melaksanakannya. Jangan mudah berasa selesa dengan ilmu yang ada,” katanya.

Beliau berkata, selain dipasarkan di pasar-pasar borong, mereka turut menawarkan lada solok segar di kebun kepada penduduk tempatan atau individu yang ingin membeli secara terus.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment