Permata Lubnan: Mahkamah tolak saman Rosmah

Wednesday, October 10, 2018

Permata Lubnan: Mahkamah tolak saman Rosmah

Permata Lubnan: Mahkamah tolak saman Rosmah

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan saman syarikat permata Lubnan susulan 44 barang kemas yang dikirimkan padanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin mengarahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan afidavit dalam tempoh dua minggu sama ada 44 unit barang itu berada pada polis selepas serbuan.

Malaysiakini melaporkan, selepas perkara ini dipastikan, menurut mahkamah, Rosmah boleh memfailkan permohonan baru untuk mengetepikan saman berkenaan.

Wong menetapkan 4 dan 5 Mac untuk mendengar saman itu.

Syarikat permata itu menyaman Rosmah Jun lalu susulan status tidak pasti berkaitan barang kemas yang dihantar padanya.

Julai lepas, firma barang kemas terkemuka Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (hampir RM60 juta) terhadap Rosmah  atas penghantaran 44 item kepadanya pada Februari lalu, sebelum dirampas polis baru-baru ini.

Dilaporkan Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Beirut telah memfailkan saman terhadap isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Dalam pernyataan tuntutannya, firma itu mendakwa Rosmah yang juga pelanggan lamanya memaklumkan menerusi surat bertarikh 22 Mei telah menerima barangan kemas itu.

Pada Mei lalu, polis menyerbu dan merampas wang tunai dan barangan kemas dari dua unit kondominium mewah yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Rosmah  menafikan beliau membeli mana-mana daripada 44 barang kemas bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta, yang didakwa dihantar kepada beliau untuk dipilih oleh sebuah syarikat pemborong barang kemas Lubnan.

Firma guaman Messrs Geethan Ram yang mewakili Rosmah berkata,   barang kemas yang dinyatakan itu dihantar kepadanya untuk dipilih atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia, merupakan kehendak dan kerelaan plaintif sendiri dan tanpa sebarang kewajipan bagi Rosmah untuk membelinya.

Beliau berkata saman yang difailkan oleh Global Royalty selaku plaintif telah melanggar peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment