Menurut Norza, walaupun pemain itu kehilangan berat badan hampir lima kilogram tetapi dia nampak ceria bersama keluarga sejak kembali selepas menjalani rawatan selama lebih dua bulan di Taiwan, Ahad lalu.
Norza, yang berkunjung ke rumah Chong Wei hari ini, berkata bekas pemain No. 1 dunia itu mungkin memerlukan masa beberapa minggu lagi untuk berehat dan menguatkan sistem imunisasi badannya sebelum boleh berjumpa orang ramai.
Pada pertemuan itu, beliau berkata, mereka membincangkan rawatan yang dilalui oleh pemain itu serta perkembangan prestasi skuad negara.
Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama selesai menjalani rawatan di Taiwan.
“Kami berbicang mengenai skuad negara dan Chong Wei gembira dengan Lee Zii Jia yang memenangi kejuaraan Terbuka Taiwan,” katanya.
Terdahulu, Norza mengirimkan gambar terbaru beliau bersama Chong Wei dalam akaun Instagramnya semasa kunjungan ke rumah pemain itu, dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik tersebut kelihatan kuat serta sihat.
Ditanya bila pemain No. 1 itu dijangka kembali ke gelanggang, Norza berkata: “Belum bincang lagi perkara itu kerana yang paling penting adalah kesihatan beliau. Yang pentingnya, kami mahu menentukan Chong Wei rehat secukupnya dan pulih seperti sediakala”. - BERNAMA
sumber:
0 comments:
Post a Comment