Mangsa keracunan makanan meningkat 80 kes

Thursday, October 11, 2018

Mangsa keracunan makanan meningkat 80 kes

Mangsa keracunan makanan meningkat 80 kes

ALOR SETAR - Sebanyak 19 kes baharu keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di Kupang, Baling direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes meningkat kepada 80 kes, berbanding 42 kes, kelmarin.

Menurutnya, pertambahan itu adalah satu kes di Kedah, Perak (15) dan Selangor sebanyak tiga kes.

"Jumlah kematian kekal kepada dua orang. Dengan pertambahan kes baharu ini, Perak mencatat kes tertinggi dengan 31 kes, termasuk dua kematian, diikuti Kedah (25 kes) dan Selangor sebanyak 24 kes," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, hanya sembilan kes masih dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil.

"Sehingga kini, sebanyak 10 sampel makanan telah dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat sampel mi laksa, empat sampel kuah laksa dan dua sampel bahan campuran salad untuk laksa," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu keputusan ujian tersebut dan punca   keracunan makanan masih dalam siasatan.

Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan.

"Tatacara keselamatan makanan perlu dititik beratkan semua pengendali makanan dan orang ramai. Makanan mesti dimakan tidak lebih dari empat jam selepas penyediaannya," katanya.

Menurutnya, sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu mencukupi bagi mengelak keracunan makanan.

Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan bagi mengelak makan makanan yang basi.

"Sentiasa amalkan kebersihan diri dan basuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment