Makna sebuah undi dalam PRU

Wednesday, October 10, 2018

Makna sebuah undi dalam PRU

Makna sebuah undi dalam PRU

PRK Port Dickson hanya tinggal dua hari lagi, masih timbul kegusaran dalam kalangan rakyat bahawa ia akan bakal mengulangi nasib sama dengan tiga PRK sebelumnya.

Terdahulu, PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong mencatatkan peratusan keluar mengundi amat kecil, sekitar 45 peratus dengan Balakong mencatat sejarah terendah PRK Malaysia.

Jangkaan awal peratusan keluar mengundi pada PRK Port Dickson kali ini barangkali sedikit positif. Maklum sajalah yang bertanding kali ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu nama besar yang sangat berpengaruh dalam politik Malaysia.

Dengan prospek Port Dickson akan diwakili oleh seorang bakal perdana menteri, impaknya dari sudut psikologi pengundi dan limpahan pembangunan Port Dickson masa hadapan sudah tentu antara faktor yang mampu memancing pengundi untuk pulang dan keluar mengundi.

Walaupun begitu, masih tiada jaminan bahawa perkara di tiga PRK sebelumnya tidak berulang. Keletihan politik dan sikap ‘tak apalah’ masih menghambat pengundi. Perkara ini sudah tentu tidak bagus untuk proses demokrasi di Malaysia.

Benar perubahan rejim yang dikehendaki oleh pengundi telah pun menjadi kenyataan pada PRU14 lalu. Namun, tanggungjawab mengundi tidak tamat di situ sahaja. Ini kerana mengundi adalah satu tanggungjawab sivik setiap warga negara. Mengundi juga adalah hak sivil bagi setiap individu dalam amalan demokratik sesebuah negara berdasarkan prinsip “satu warga, satu suara (baca: undi)”.

Ramai individu yang memandang remeh perihal undi dan mengundi ini. Kebanyakan melihat satu undi yang dimiliki itu tidak membawa sebarang makna dan perubahan ketara, baik dalam pilihan raya mahupun kepada politik negara.

Tanggapan bahawa mengundi atau tidak mengundi semuanya sama sahaja adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab. Ini kerana, setiap undi adalah begitu berharga, apatah lagi dalam amalan pilihan raya berdasarkan sistem ‘First-Past-The Post” seperti di Malaysia.

Buktinya, lihat apa berlaku ketika PRU11 di Dun Kemuning, Kelantan apabila keputusan memihak kepada calon Pas, Zakaria Yaacob yang menewaskan calon BN, Wan Mohamad Zin Mat Amin dengan kelebihan dua undi sahaja.

Cuba bayangkan kalau dua pengundi ini tadi tidak keluar mengundi, maka sudah tentu calon Pas itu akan kalah kepada BN, dan mungkin menamatkan pemerintahan Pas di Kelantan. Begitulah gambaran betapa penting dan berharganya sebuah undi dalam pilihan raya.

Undi dan mengundi juga bukanlah sekadar alat untuk menyatakan hasrat dan sokongan semata-mata. Ia juga medium untuk melakukan protes dan bantahan terhadap apa jua perkara tidak disenangi secara sah dan betul.

Di negara-negara maju, bantahan dan protes sering kali ditunjukkan dalam kertas undi setiap kali pilihan raya dilakukan. Justeru, proses pendemokrasian mereka bercambah menjadi matang sehinggakan peralihan kerajaan dalam politik dan pentadbiran mereka telah dianggap sebagai lumrah dan biasa.

Malangnya, ini tidak berlaku di Malaysia. Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila undi tidak digunakan sebagai alat tunjuk rasa, tetapi bertindak memboikot dan berkeputusan untuk tidak keluar mengundi.

Hakikatnya ini adalah pemahaman yang salah terhadap fungsi undi dan mengundi. Tindakan memboikot dan enggan mengundi sebagai tindakan protes tidak menghantar sebarang isyarat bagi mana-mana pihak agar membaca maksud dan hasrat dari tindakan itu.

Ini adalah kerana, angka-angka dan statistik keputusan pengundian yang diterima gagal menterjemahkan gambaran sebenar hasrat dan kemahuan pengundi disebabkan kurangnya peratusan mengundi akibat daripada tindakan memboikot dan keengganan mengundi tadi.

Mengambil contoh PRK Sungai Kandis dan Seri Setia, rendahnya peratusan pengundi ketika PRK lalu menyukarkan parti-parti yang bertanding untuk melakukan kajian dan analisis yang tepat disebabkan data yang tidak lengkap akibat perbuatan itu.

Ini menyukarkan, baik parti yang menang mahupun yang kalah memahami dan mengetahui apa kehendak dan keperluan pengundi di kawasan itu. Disebabkan itu parti-parti tersebut tidak mampu untuk memberi respons yang baik terhadap hasrat dan permintaan masyarakat setempat.

Akibatnya, akan timbul masalah seperti lambat bertindak, salah respons, perkhidmatan tidak memuaskan dan sebagainya daripada pihak parti politik mahupun kerajaan sendiri.

Oleh yang demikian, undi sememangnya sangat signifikan dalam amalan demokrasi dan politik bernegara. Ia bukan sekadar alat menyuarakan hak dan hasrat politik semata-mata, tetapi ia juga satu angkubah penting bagi semua pihak, sama ada rakyat mahupun parti siasah berinteraksi secara politik menerusi kotak undi dalam menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan pendemokrasian.

Oleh itu, ayuh warga Port Dickson tunaikan hak sivil anda sebagai warganegara yang bertanggungjawab dengan pulang dan keluar mengundi Sabtu ini.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment