ATM siap sedia hadapi banjir

Friday, October 12, 2018

ATM siap sedia hadapi banjir

ATM siap sedia hadapi banjir

KOTA BHARU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir musim tengkujuh terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, persiapan yang melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan markas ATM iaitu darat, laut dan udara itu akan menggunakan aset sedia ada.

"Kita bersedia berdasarkan kepada kemampuan yang kita ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada 185 bekas anggota tentera di sini, hari ini.

Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka akan mengalami antara empat hingga enam episod hujan lebat sehingga Mac tahun depan bermula awal November ini berikutan musim Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD), Alui Bahari dilaporkan berkata keadaan itu boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan yang biasa dinaiki air dan juga kawasan-kawasan yang rendah.

Sementara itu,  Mohamad berkata sekarang ini ATM sedang terlibat membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia.

Beliau berkata beberapa pesawat digunakan untuk membantu mengangkut barangan seperti makanan dan perubatan dari Jakarta ke wilayah terbabit.

"Kita sudah seminggu memberi bantuan menghantar barangan dari Jakarta ke Sulawesi dan sekarang ini pihak Indonesia memberitahu setakat yang ada ini mencukupi (bantuan dari ATM)," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pemindahan RM2.5 juta kononnya daripada Umno kepada Pas dengan sumber wang itu disyaki daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diseleweng, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu juga Presiden Amanah, berkata terserah kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pemuda Amanah Terengganu yang membuat laporan polis pada Ahad lepas mendesak siasatan segera selepas tersebarnya salinan transaksi kononnya Umno telah memindahkan sejumlah RM2.5 juta kepada Pas dengan sumber wang itu disyaki daripada dana 1MDB yang diseleweng. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment