Felda makin hampir tuai hasil

Friday, October 12, 2018

Felda makin hampir tuai hasil

Felda makin hampir tuai hasil

HASRAT Felda untuk melihat skuad Felda United yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia  dibarisi sebahagian besar anak peneroka dilihat semakin hampir menjadi kenyataan.

Perkara itu diakui Pengarah Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baharu Felda, Nik Hasrul Mohd Zainudin, yang menjangkakan hasrat itu mampu direalisasikan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi selepas 60 peratus skuad Piala Presiden The Fighters kini dibarisi anak peneroka.

Justeru, beliau berharap penganjuran Piala Pengerusi Felda edisi kelima yang berakhir hari ini dapat terus menjadi 'kilang' dalam menggilap bakat anak peneroka ke peringkat tertinggi.

"Memang kita mempunyai perancangan jangka panjang (menerusi penganjuran Piala Pengerusi Felda) dengan kita mengarahkan jurulatih Felda United menyenarai pendek beberapa pemain untuk diketengahkan ke dalam sistem bola sepak Felda.

"Mereka yang menepati kriteria akan diserapkan ke pasukan Piala Belia, Piala Presiden serta Akademi Bolasepak Felda (ABF) bagi mereka yang berusia 17 tahun ke bawah.

"Sebab rancangan utama Felda dalam dua atau tiga tahun lagi barisan utama Felda United akan dibarisi oleh anak peneroka selepas ramai bakat baharu yang sudah dikenal pasti sejak empat edisi lalu.

"Malah, sebenarnya kini ABF sendiri sudah 100 peratus diperkuatkan anak peneroka dan situasi sama juga untuk skuad Piala Belia. Cuma hanya skuad Piala Presiden baharu 60 peratus," katanya.

Memasuki hari ketiga pertandingan, menyaksikan naib juara tahun lalu Persatuan Bola Sepak Felda Wilayah (PBFW) Kuantan dengan PBFW Mempaga akan membuat perhitungan bagi menentukan juara pada aksi final malam ini.

Ini selepas PBFW Kuantan berjaya menjinakkan PBFW Sahabat 1-0 dalam aksi separuh akhir pagi tadi manakala PBFW Mempaga turut mencatat kemenangan dengan jumlah jaringan yang sama ke atas PBFW Terengganu dalam satu lagi aksi.

Pertandingan membabitkan 11 pasukan dari tanah rancangan selain satu pasukan dari ABF itu menawarkan hadiah kemenangan RM 20,000 untuk juara manakala naib juara membawa pulang RM 15,000 ketika pemenang tempat ketiga (RM 8,000) dan keempat (RM 5,000).

Mengulas lanjut Nik Hasrul, turut berpuas hati dengan kualiti permainan dipamerkan 12 pasukan yang mengambil bahagian kali ini walaupun ada perubahan dari segi format pertandingan.

"Edisi kelima Piala Pengerusi Felda ini sebenarnya menampilkan kelainan apabila daripada format pertandingan liga sebelum ini kepada format karnival.

"Pada tahun ini banyak kejutan berlaku antaranya juara bertahan PBFW Alor Setar terkandas di awal di peringkat kumpulan, begitu juga bagi PBFW Jengka dan PBFW Segamat.

"Tahun ini pertandingan lebih seimbang dan kita dapat lihat beberapa PBFW lain seperti PBFW Sahabat, Terengganu dan Kuantan menjadi pilihan dengan kualiti permainan pun lebih bagus berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment