Sorok dadah dalam pam racun

Friday, October 12, 2018

Sorok dadah dalam pam racun

Sorok dadah dalam pam racun

JERTIH - Taktik seorang tokan dadah menyorokkan pil kuda dalam pam racun bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak menjadi apabila dia ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Gong Tor Tor dekat sini.

Suspek berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan polis dari  Task Force Balai Polis Jertih pada 11.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, pihaknya berjaya menghidu aktiviti haram suspek selepas maklumat dan risikan dijalankan sejak beberapa hari sebelum itu.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan suspek berada di hadapan bengkel kimpalan di tepi rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pada suspek tidak menemui barang salah tetapi pemeriksaan di dalam satu pam racun yang diletakkan di tepi dinding telah menemui satu uncang berwarna coklat.

“Di dalamnya mengandungi 300 biji pil dipercayai dadah jenis pil kuda lalu polis merampas dadah tersebut dan menahan suspek,” katanya.

Mohd Zamri berkata, suspek menyembunyikan dadah di dalam pam tersebut dengan harapan sekiranya ada pemeriksaan, polis tidak akan mengesyaki dadah tersebut disembunyikan di situ.

Tambahnya, saringan awal air kencing terhadap suspek yang beralamat di Kampung Pengkalan Buluh, Jertih positif dadah jenis pil kuda.

Menurut beliau, semakan rekod lampau pula mendapati suspek turut mempunyai tujuh rekod lampau iaitu enam rekod kesalahan memiliki dadah dan satu kerana mengambil dadah.

“Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikuti Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 ,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment