Pengawal keselamatan kantoi mencuri

Friday, October 12, 2018

Pengawal keselamatan kantoi mencuri

Pengawal keselamatan kantoi mencuri

SHAH ALAM - Perbuatan seorang pengawal keselamatan mencuri beg tangan seorang penumpang bas percuma Smart Selangor membawa padah apabila kelakuannya berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam bas berkenaan.

Menerusi rakaman berdurasi lebih lima minit itu, suspek berusia 30 tahun yang turut menaiki bas terbabit dilihat duduk berseorangan serta leka bermain dengan telefon bimbitnya.

Sementara itu, di tempat duduk depan suspek terdapat dua kanak-kanak perempuan dan ibu kepada kanak-kanak itu duduk di kerusi bersebelahan bersama seorang lagi anak perempuannya.

Wanita itu juga kelihatan memerhatikan telefon bimbitnya dan berbual dengan seseorang.

Pada minit ketiga rakaman menunjukkan wanita itu memakai beg galas sebelum turun dari bas bersama tiga anak perempuannya tanpa menyedari dia tertinggal beg tangannya.

Ketika wanita itu turun, suspek lelaki yang memakai baju Melayu berwarna biru dilihat masih leka bermain dengan telefon bimbitnya.

Namun setelah hampir seminit berlalu, suspek dilihat menyedari terdapat beg tangan berada di situ dan dia terus bangun dari tempat duduknya dan bergerak ke arah beg tangan tersebut.

Tanpa berlengah, suspek terus membuka beg tangan tersebut sebelum dilihat membuka beg sandangnya dipercayai untuk mengisi barang yang diambil dari beg tangan tersebut.

Suspek juga dilihat berlagak seperti biasa seolah-olah sudah biasa melakukan perbuatan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam,  Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan kejadian yang berlaku dan memaklumkan sudah menahan suspek berkenaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada Ahad minggu lalu ketika mangsa bersama anak-anaknya menaiki bas itu pada jam 9 pagi di Seksyen 19, di sini.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari dia tertinggal beg tangan kira-kira 10 minit selepas turun dari bas.

"Apabila dia kembali ke stesen bas untuk mencari beg tangannya mendapati dompet dalam beg tangannya tiada.

"Mangsa buat laporan polis dan siasatan lanjut dijalankan termasuk pemeriksaan ke atas CCTV bas itu, "katanya.

Katanya, polis menyerbu sebuah rumah di Blok 19, Jalan Tupai Seksyen 20 pada jam 1.15 pagi tadi dan menahan suspek terbabit.

"Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg galas berwarna kelabu, seutas gelang tangan emas, sepasang baju Melayu biru, telefon bimbit, 'earphone', jam tangan serta kasut.

"Susulan itu, kita kemudiannya dibawa oleh suspek ke perkarangan Rumah TNB di kawasan sama pada jam 3 pagi tadi dan merampas antaranya satu dompet hitam, MyKad milik mangsa, tiga keping MyKid, lima keping MyDebit pelbagai bank, lesen memandu mangsa, dua keping kad pesakit luar serta sekeping kad peduli sihat, "katanya.

Baharuddin berkata, hasil soal siasat awal suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan semakan menunjukkan dia memiliki dua rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, reman ke atas suspek akan dipohon dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.



sumber:
sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment