'Anak muda kena berani'

Thursday, October 11, 2018

'Anak muda kena berani'

'Anak muda kena berani'

MELAKA - Harta, kekayaan dan wang ringgit sebenarnya kalau diurus dengan betul ia mampu membeli tiket ke syurga.

Pandangan ini diberikan pendakwa bebas, Ustaz Shaari Ab Kadir yang mempelawa anak-anak muda supaya memperkuatkan diri bukan sahaja dari segi ibadah bahkan turut mempelawa supaya berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Menurut bekas Penolong Pegawai Tadbir di Mahkamah Syariah Melaka ini, anak muda hari ini mesti berani melakukan perubahan terutama di dalam konteks perniagaan kerana menerusi bidang ini Islam mampu dibangunkan.

“Anak muda mesti lakukan perubahan, saya tidak berapa setuju apabila anak ada ijazah, diploma atau mana-mana kelulusan mesti kerja makan gaji sama ada di sektor awam ataupun swasta, sedangkan sejak era beberapa pemimpin terdahulu telah umumkan bagaimana orang muda harus menerokai bidang keusahawanan.

“Lantaran kita kena ubah pemikiran terhadap anak muda ini supaya ada seni dan nilai tambah misalnya bukan semata-mata sekiranya ada kelulusan mekanikal akhirnya akan menjadi seorang jurutera,” katanya.

Shaari berkata, anak muda kena melihat beberapa contoh ketika era perjuangan Nabi Muhammad SAW terhadap kemunculan dua tokoh iaitu Uthman Affan dan Abdul Rahman Auf.

“Kalau betul kita selami terhadap perjuangan nabi dalam menyebarkan dakwa, sejarah tersebut telah membukti betapa perkembangan Islam tidak boleh dinafikan ia disokong oleh sumbangan kekayaan para sahabat.

“Uthman Affan telah membeli satu telaga yang dimiliki orang Yahudi dan kemudian mewakafkan untuk penduduk sekitar Madinah dan sumbangan beliau terhadap pembesaran Masjid Nabawi. Begitu juga sumbangan besar Abdul Rahman Auf terhadap perjuangan Islam ketika itu. Bukankah itu membuktikan dengan harta membawa jalan ke syurga.

“Hari ini kebimbangan kita terhadap masyarakat Melayu yang semakin rapuh dan faktor utamanya tengok bagaimana keadaan ekonomi orang Islam. Memang betul sekiranya kita hendak menceritakan soal solat, zikir namun dalam Islam ada menekankan soal keusahawanan atau sunnah berniaga, malah dalam hadis nabi ada sebut 9/10 sumber

rezeki itu adalah datangnya dari sumber perniagaan,” katanya.

Justeru, beliau yang kini mengasaskan sebuah agensi bagi membimbing anak-anak muda yang berminat berkecimpung di dalam bidang perniagaan secara percuma.

Menurutnya, agensi yang dinamakan ‘Aliff Agency, Madrasah Kehidupan’ adalah satu platform untuk membimbing anak-anak muda berjaya bukan sahaja dalam bidang perniagaan bahkan turut menekankan cara kehidupan yang betul.

“Di sini kita mahukan mereka menjadi bukan seorang usahawan berjaya malah seorang yang ingatkan mak ayah, sorang usahawan yang membayar zakat, tidak bakhil dan yang penting sekali memelihara solat.

“Hari ini ramai orang berniaga tetapi jarang ke masjid, ramai peniaga yang tidak bayar zakat perniagaan, ramai berniaga jarang ziarah mak ayah atas alasan kesibukan.

“Justeru di Aliff Agency ini kita bukan terapkan ilmu berniaga sahaja sebaliknya mengajar cara hidup yang betul supaya mampu membangunkan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Menceritakan pengalaman beliau bagaimana boleh menumpukan bidang berkenaan, Shaari berkata, semuanya bermula selepas beliau bertugas sebagai kakitangan praktikal di Pusat Zakat Melaka pada 2012.

“Saya pernah dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan khutbah di beberapa masjid bagi menerangkan kepada masyarakat tentang zakat pada anak muda dan kemudian menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Mahkamah Syariah Melaka selama lima tahun di samping menjadi pendakwah bebas di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

“Saya tersentuh setelah mendengar pandangan serta nasihat guru-guru lain, usahawan-usahawan tentang saranan supaya orang Melayu perlu bangkit menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Saya pernah terfikir untuk menjalankan perniagaan burger, air batu campur (ABC) berkonsepkan Islam tetapi ditakdirkan ALLAH terjumpa seorang sahabat yang mempelawa saya terlibat dalam bidang perniagaan Takaful yang memperjuangkan supaya orang Islam terhindar daripada amalan riba sebab ia dosa besar.

“Walaupun saya tidak terkenal tetapi saya mampu berperanan sebagai dai agar berpeluang membetulkan masyarakat supaya jangan terlibat dengan riba’ yang bertentangan hukum syarak,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment