Penyelia kebun jadi mangsa Love Scam

Friday, October 12, 2018

Penyelia kebun jadi mangsa Love Scam

Penyelia kebun jadi mangsa Love Scam

KUANTAN - Gara-gara mahu membantu rakan wanita yang baru dikenali di aplikasi WeChat, penyelia kebun sayur di Cameron Highlands rugi RM24,300 akibat diperdaya anggota sindiket Love Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 35 tahun itu, sanggup meminjamkan sejumlah wang kepada wanita berkenaan walaupun tidak pernah bertemu.

Menurutnya, mangsa dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit  yang bernama Saowapa di WeChat sejak Jun lalu sebelum menjadi mangsa.

“Dalam tempoh perkenalan, suspek telah meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM5,000 untuk mengubati penyakit ayahnya di Thailand.

“Mangsa kesian dengan keadaan ayah wanita berkenaan dan dia bertindak memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Wazir memaklumkan, suspek meminta wang lagi dari mangsa dengan memberi pelbagai alaan termasuk mahu menyara keluarga selepas kematian ibunya.

Jelasnya, bagi tujuan terbabit, mangsa membuat 17 kali pindahan wang ke lima akaun berbeza yang diberikan oleh suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM24,300.

“Selepas memasukkan semua wang itu, suspek gagal dihubung dan mangsa kemudian  membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands, semalam.

“Modus operandi suspek ialah berkenalan dan menjalin hubungan dengan mangsa melalui WeChat hingga lelaki berkenaan memasukkan duit ke dalam akaun diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata,  Polis sudah merakam percakapan mangsa untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Beliau berkata, pihaknya juga sedang memburu semua suspek termasuk enam pemilik nombor akaun yang digunakan untuk pemindahan wang.

"Kami sudah kenal pasti enam pemilik akaun berkenaan dan kini mengesan semua individu terbabit,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment