Paksi Amerika-Nato & China-Rusia

Wednesday, October 10, 2018

Paksi Amerika-Nato & China-Rusia

Paksi Amerika-Nato & China-Rusia

MENARIK sekali perkembangan dalam minggu pertama Oktober ini. Dunia menyaksikan kedinamikan hubungan antara dua blok utama dunia yang terdiri daripada tiga kuasa: Amerika-NATO dan China-Rusia. Apakah suasana yang melatari hubungan antara kesemua kuasa ini? Jawapannya ada dua.

Pertama ialah perang antara Amerika Syarikat dan China â€" bukan sahaja perang perdagangan, malah juga pertembungan di Laut China Selatan, penembusan China dalam sektor teknologi, ketenteraan, dan pilihan raya pertengahan penggal Amerika.

Kedua ialah peluasan angkatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika di Eropah â€" sekali gus meluaskan kepungan ke atas Rusia.

Ketegangan hubungan antara Washington dan Beijing kini telah mencecah peringkat yang lebih serius. Dalam keadaan perang perdagangan bernilai sebesar USD250 bilion ke atas eksport China masih berterusan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu, Naib Presiden Amerika Mike Pence telah menghangatkan keadaan dengan menuduh China cuba untuk campur tangan dalam pilihan raya pertengahan penggal di Amerika pada November ini.

Ucapan beliau ini dianggap bersejarah kerana ia jelas menolak dasar pentadbiran Amerika sejak dua dekad lalu yang cuba untuk mengintegrasikan China secara harmoni ke dalam order dunia Liberal.

Jika dahulu Amerika mengalu-alukan penyertaan China dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan melabur secara besar-besaran dalam pemodenan ekonomi China, kini pentadbiran Donald Trump menuduh China melakukan kekerasan ekonomi (economic aggression) dengan membina pangkalan pengeluaran (manufacturing base) yang merugikan Amerika dan seterusnya melonjakkan kuasa ketenteraan China.

Tidak cukup dengan ucapan bersejarah Pence itu, dua laporan besar telah menyusul menggegar arena berita di seluruh Amerika â€" satu ialah laporan daripada Bloomberg dan satu lagi daripada Pentagon. Kedua-dua laporan ini membuktikan ‘penembusan China’ ke dalam sektor teknologi dan ketenteraan Amerika.

Laporan Bloomberg yang bertajuk ‘The Big Hack: How China Used a Tiny Chip to Infiltrate US Companies’ menyatakan bahawa data menunjukkan pihak risikan China kini menerobosi hampir 30 syarikat Amerika â€" termasuklah Amazon dan Apple.

Melalui mikrocip yang dipasang ke dalam perkakas yang dikeluarkan di Amerika, pihak China berupaya untuk mengawal gear komputer yang menggunakan perkakas tersebut â€" bahkan melibatkan Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA).

Laporan Pentagon pula yang mendedahkan risiko bekalan peralatan ketenteraan Amerika adalah diarahkan oleh Presiden Trump untuk dilaksanakan sejak 2017 lagi.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa bekalan dari China sahaja dinyatakan sebanyak 230 kali. Malah, China merupakan pembekal tunggal bagi sebahagian bahan kimia yang diperlukan untuk menghasilkan peluru dan peluru berpandu Amerika, di samping kebergantungan Amerika ke atas bekalan sel dan panel solar China untuk pesawat perang mereka.

Kesemua perkembangan ini terjadi dalam keadaan kapal perang Amerika dan China sangat hampir untuk bertembung di Laut China Selatan pada penghujung September lalu.

Dalam operasi ‘Freedom of Navigation’ tersebut, kapal pemusnah USS Decatur milik Amerika belayar di perairan yang dituntut China dan dihambat oleh kapal pemusnah kelas Luyang 170 milik China.

Selain China, Rusia turut agresif. Jika China dituduh cuba campur tangan dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika, Rusia pula sejak sekian lama dituduh campur tangan dalam pilihan raya Presiden Amerika. Terkini, Rusia dituduh pula menggodam badan pemantau senjata kimia dan nuklear di Eropah.

Semua ini berpunca daripada peluasan kuasa berterusan Amerika di sempadan Rusia melalui Nato. Terbaharu, campur tangan Amerika dan Nato adalah cukup jelas dalam referendum Macedonia â€" bahkan lebih dahsyat berbanding campur tangan Rusia.

Situasi ini mengulangi peristiwa Revolusi Berwarna seperti Revolusi Oren di Ukraine dahulu yang menyaksikan campur tangan Barat agar rejim pro-Amerika ditegakkan di Kiev.

Amerika turut meningkatkan jumlah tentera mereka di Norway kepada 700 anggota. Maka tidak hairanlah apabila Rusia melaksanakan latihan ketenteraan gergasi Vostok 2018 yang turut melibatkan China dan Turki â€" terbesar sejak latihan Zapad-81 oleh Kesatuan Soviet.

Berdasarkan perkembangan yang cukup dinamik ini, ‘permainan kuasa’ antara Amerika-Nato dan China-Rusia akan terus berlangsung agresif.

*Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment