Sultan Nazrin dilantik Penaung Pusat Pengajian Asia Tenggara

Thursday, October 11, 2018

Sultan Nazrin dilantik Penaung Pusat Pengajian Asia Tenggara

Sultan Nazrin dilantik Penaung Pusat Pengajian Asia Tenggara

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dilantik sebagai Penaung Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Oxford.

Ketibaan baginda di Sheldonian Theatre, tempat bersejarah di Universiti Oxford, di mana berlangsungnya upacara perasmian pusat itu pada Khamis (Rabu di United Koingdom), disambut Naib Canselor Universiti Oxford Prof Louise Richardson dan Ketua Bahagian Sains Sosial  universiti berkenaan, Prof Sarah Whatmore.

Dalam siaran akhbarnya, Universiti Oxford berkata pusat itu akan menjadi sebahagian  daripada Oxford School of Global and Area Studies.

Penubuhan pusat itu dijangka mewujudkan peluang dalam bidang penyelidikan dan pendidikan  untuk dikongsi beberapa jabatan, termasuk Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Jabatan Antropologi dan Ethnografi Muzium, Jabatan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Jabatan Pengajian Pembangunan dan Jabatan Sejarah.

"Penubuhan Pengajian Asia Tenggara sebagai suatu bidang fokus khusus akan mengukuhkan lagi pencapaian universiti ini dalam bidang penyeldikan dan capaian globalnya," kata universiti itu.

Ketika mengalu-alukan inisitif penubuhan pusat itu pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin bertitah Universiti Oxford akan dapat memberi sumbangan penting kepada akademi global dengan  mewujudkan suatu fokus khusus bagi kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan dalam Pengajian Asia Tenggara.

“Hanya segelintir universiti di dunia mampu menandingi Oxford dari segi jenis dan kehebatannya berhubung kepakaran akademik.

“Usaha unggul dan berkaitan pengetahuan bersepadu yang direncanakan secara mendalam ini akan meletakkan Asia Tenggara di lubuk hatinya, yang sekali gus akan memberi manfaat kepada warga negara anggota Asean (Pertubuhan Negara Asia Tenggara) serta umat manusia sejagat,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin, yang juga Canselor Universiti Malaya dan aktivis ekonomi serta sarjana yang aktif, terkenal kerana minat baginda sejak sekian lama dalam bidang pembangunan sosioekonomi di Malaysia dan rantau sekitarnya.

Di samping memiliki ijazah dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi (BA Hons) dari Universiti Oxford, baginda  juga berkelulusan tinggi dalam bidang Pentadbiran Awam (Sarjana) serta Ekonomi Politik dan Kerajaan (PhD) dari Universiti Harvard.

Minggu lepas, Universiti Oxford diberi penarafan nombor satu keseluruhan dalam Times Higher Education World University Rankings bagi tahun ketiga berturut-turut.

Universiti itu juga kini menduduki tempat teratas dalam pengajian Sains Sosial dan Sains Perubatan.

Sultan Nazrin pernah menyandang jawatan Pengerusi Bersama Panel Peringkat Tinggi mengenai Pembiayaan Kemansiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Duta Khas Malaysia bagi Dialog Antara Agama dan Antara Peradaban di Perikatan Peradaban Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNAOC).

Baginda juga dilantik sebagai Penaung Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia; Felo Chancellor’s Court of Benefactors di Universiti Oxford; Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Oxford; Felo Kehormat Worcester College, Oxford, dan Magdalene College serta St Edmund’s College, Cambridge.

Sultan Nazrin adalah pengarang buku "Charting the Economy (OUP, 2017)" dan menerbitkan banyak kertas akademik tentang sejarah dan ekonomi Malaysia. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment