Malaysia semakin hampiri revolusi Internet

Friday, October 12, 2018

Malaysia semakin hampiri revolusi Internet

Malaysia semakin hampiri revolusi Internet

KUALA LUMPUR - Malaysia semakin menghampiri revolusi Internetnya sendiri yang menyentuh kehidupan jutaan pengguna Internet tentang bagaimana mereka berkomunikasi setiap hari dari rumah dan pejabat mereka dan pada masa yang sama memberi rangsangan besar kepada e-dagang.

Ini adalah transformasi luar biasa untuk menyediakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi pada kos yang lebih rendah dalam tempoh hanya lima bulan sejak pilihan raya umum 9 Mei, menurut pemain industri.

Mereka menyifatkannya sebagai pencapaian tunggal Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang, melalui idea yang bijak dan disokong oleh capaian politik yang kuat, telah mengambil alih seluruh industri dan menyediakan kepada pengguna internet Malaysia kemudahan yang dahulu disifatkan oleh seorang pengulas sebagai "Impian Mustahil”.

Dengan memberi tumpuan kepada usaha menyediakan sambungan Internet yang lebih baik dan lebih murah untuk rakyat, Gobind Singh telah melangkaui rintangan syarikat telekomunikasi untuk menyediakan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi pada kos yang lebih rendah. Apa yang hanya menjadi slogan menarik lima bulan lalu kini menjadi kenyataan untuk berjuta-juta rakyat Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata ia menjangka pelaksanaan penuh Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap akan menyaksikan pengurangan harga sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang 31 Disember manakala kelajuan yang lebih tinggi akan disediakan.

SKMM berkata pelaksanaan MSAP sebaliknya telah mengakibatkan pengurangan 30 peratus untuk harga pakej permulaan.

Tetapi syarikat telekomunikasi iaitu Telekom Malaysia (TM) TIME Dotcom dan Celcom dalam langkah yang tidak pernah berlaku minggu ini bersetuju untuk mengurangkan harga jalur lebar talian tetap dan menawarkan kelajuan lebih tinggi pada harga lebih rendah.

Dalam sekelip mata, pakej jalur lebar di Malaysia kini lebih murah, dengan pakej permulaan yang ditawarkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi sekarang bernilai kurang daripada RM100.

Ini adalah kira-kira 30 hingga 50 peratus kurang daripada harga sebelumnya, dan merupakan hasil campur tangan oleh SKMM selaku badan kawal selia

Pakej permulaan TM bagi 30 Megabits sesaat (Mbps) sebelum MSAP pada kadar RM139 sebulan kini lebih murah sebanyak 43 peratus pada harga RM79.

Penjimatan terbesar adalah untuk pakej 40 Mbps Celcom, yang turun 56 peratus daripada RM180 kepada RM80 sebulan.

Pakej permulaan Maxis 30 Mbps berkurangan sebanyak 36 peratus daripada RM139 kepada RM89 sebulan, dan TIME, yang menawarkan kelajuan terpantas pada 100 Mbps, mengurangkan harga pakej bulanan sebanyak 34 peratus daripada RM149 kepada RM99.

Penambahbaikan besar dalam akses jalur lebar di rumah ini, seperti direalisasikan dalam kelajuan tinggi dan kos rendah, adalah batu loncatan untuk membangunkan jalur lebar berkelajuan ultra bagi perniagaan untuk melonjak sehingga ke “skala industri” IT seperti pengkomputeran awan atau pengkomputeran berasaskan ionternet menggunakan teknologi terkini, “data mining” dan e-dagang, kata pemain industri kepada Bernama.

Juga, jalur lebar talian tetap akan mempercepatkan koordinasi antara jabatan di kalangan agensi kerajaan.

Jelas sekali, apa yang dicapai oleh Gobind Singh adalah kitaran yang berharga kerana harga yang lebih rendah menarik lebih ramai pengguna Internet, seterusnya akan mengurangkan kos perkhidmatan Internet untuk orang ramai," kata seorang pemain industri.

Kesan itu adalah kebanggaan untuk penggunaan e-dagang dalam sektor barangan dan perkhidmatan yang menyaksikan penyertaan banyak perusahaan kecil dan sederhana, sekali gus memberikan suntikan kepada ekonomi Malaysia.  - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment