Singgah Mesra KPS pupuk semangat patriotik

Wednesday, September 26, 2018

Singgah Mesra KPS pupuk semangat patriotik

Singgah Mesra KPS pupuk semangat patriotik

SHAH ALAM - Program Singgah Mesra Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) yang berlangsung di SMK Seksyen 19 sempena sambutan bulan kemerdekaan dilihat mencapai objektif untuk memupuk elemen dan semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah berkenaan.

Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam, Media & CSR Kumpulan Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Ghazali berkata, sambutan yang diterima di kalangan pelajar juga sangat menggalakkan apabila lebih 300 pelajar turut terlibat dalam aktiviti yang disediakan.

"Ini adalah siri ketiga program Singgah Mesra Perangsang Selangor bersama Sinar Harian dan Genesis, yang mana inisiatif ini kita lakukan untuk lebih dekat dengan rakyat dan membantu mereka yang kurang berkemampuan.

"Kali ini kita singgah di SMK Seksyen 19, antara sebuah sekolah yang mempunyai pelajar yang paling ramai, kita lakukan beberapa aktiviti sempena bulan kemerdekaan dan sambutan hari malaysia, antaranya termasuklah nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak serta pertandingan menghias bilik darjah bertemakan kemerdekaan.

Antara peserta yang menyertai pertandingan lagu patriotik

"Di samping itu, kita juga ada menyalurkan sumbangan kepada 40 orang pelajar yang kurang berkemampuan selain sumbangan kepada pihak sekolah sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama ke program ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah serta Pengetua SMK Seksyen 19, Roslawati Hashim.

Selain pertandingan nyanyian lagu patriotik dan deklamasi sajak, pelajar juga terlibat dengan aktiviti mengecat dua buah gazebo selain dihiburkan oleh selebriti tempatan iaitu Ewal (AF).

Sementara itu, mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata penganjuran program seumpama ini diharap mampu membentuk jati diri dan karakter positif di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Warga Kumpulan Perangsang Selangor dan pelajar SMK Seksyen 19 bergotong royong mengecat wakaf di sekolah berkenaan

"Kita nak pelajar-pelajar ini, sebagai bakal pemimpin masa depan, kita mahu mereka mempunyai kebolehan untuk berfikir secara kreatif dan terbuka. Kita tidak mahu pemikiran mereka dijajah oleh anasir-anasir luar yang negatif.

"Selain itu kita juga mahu menanamkan elemen-elemen pengorbanan, perjuangan dan mendaulatkan bangsa dan negara kepada mereka agar mereka mempunyai asas dan semangat patriotik yang kukuh di masa depan," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment