Rais hargai pelantikan sebagai pengerusi Bersatu
SEREMBAN - Tan Sri Rais Yatim menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan sebagai satu penghargaan dan bersedia memikul tanggungjawab itu sebaik mungkin.
Menurutnya, satu majlis suai kenal dengan jawatankuasa penaja dari tujuh bahagian akan diadakan Khamis ini bagi menyusun gerak kerja parti sekali gus persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil(PRK) Port Dickson.
"Saya terharu apabila menerima surat pelantikan daripada pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad dan akan cuba beri khidmat secara berkesan tetapi berhemah dan beradab.
"Tapi saya nak ingatkan jawatankuasa ini hanya peringkat penaja, bukannya kekal dan kami akan memikul tanggungjawab ini sehingga September tahun depan.
"Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah dilantik sebagai Timbalan saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Ditanya berkenaan dengan kepimpinan lama parti itu di negeri ini, Rais berkata, secara automatiknya ia telah terbubar dan beliau akan mendapatkan senarai baharu daripada kepimpinan tertinggi.
Beliau berkata, peranan mereka selama ini dihargai dan dihormati, namun beliau berharap setiap ahli parti akur dengan keputusan yang telah dibuat.
"Parti kita masih baru dan saya harap kita tidak banyak karenah dengan menghormati serta berdiri teguh dengan perlembagaan parti.
"Matlamat saya ialah membawa pendekatan budi dan adab dalam parti dan tidak sesekali tunduk pada situasi salah langkah, kasar atau melanggar cara org melayu mengendalikan perjuangan," katanya.
Sementara itu Rais turut menyatakan kesediaan melepaskan jawatan berkenaan jika ada yang mendapati khidmat diberi oleh beliau tidak berkesan.
"Kombinasi tua dan muda itu perlu, sedangkan Perdana Menteri kita pun umurnya sudah 93 tahun.
"Jawatan ini bukan saya yang minta, tapi parti beri kepercayaan. Jika separuh jalan didapati khidmat saya tak berkesan, saya rela lepaskan pada orang yang berkelayakan,tapi beri dulu peluang untuk saya berkhidmat," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment