Presiden Gerakan umum letak jawatan

Saturday, September 15, 2018

Presiden Gerakan umum letak jawatan

Presiden Gerakan umum letak jawatan

SEREMBAN - Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini mengumumkan secara rasmi perletakan jawatannya sebagai presiden Gerakan.

Siew Keong berkata, ini adalah susulan prestasi buruk parti itu pada PRU14, 9 Mei lepas yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen berbanding satu kerusi pada PRU13.

“Tiga atau empat bulan lepas saya mendapat banyak rayuan daripada anggota parti supaya terus kekal sebagai presiden, namun saya sebagai kapten telah berjanji jika keputusan parti lebih teruk dari dahulu, maka saya akan letak jawatan.

“Saya ucap terima kasih pada semua (anggota parti) dan hari ini secara rasmi saya tidak akan teruskan (memegang jawatan) sebagai presiden,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-43 di Wisma Gerakan, di sini.

Ini adalah program terakhir beliau selaku presiden parti.

Pada PRU14, Gerakan kalah kesemua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dun yang ditandinginya.

Gerakan yang telah menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun lepas, akan memiliki presiden baharu selepas ini.

“Kita akan ada pemimpin baharu. Saya telah mengetuai parti Gerakan dan mesti ambil tanggungjawab walaupun ramai yang kata ini bukan salah kita, tetapi sebagai presiden mesti ambil tanggungjawab,” katanya.

Siew Keong berkata, Gerakan yang kini dalam proses pemilihan parti perlu mengekalkan pemimpin lama dan digabungkan sekali dengan yang baharu bagi memastikan ia dapat dibangunkan semula.

“Sesuatu parti, kita tak boleh (letakkan semua pemimpin) yang baharu, sesetengah daripadany perlu kekal hingga kita bangun semula tetapi presiden tak boleh,” katanya. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment