Pas pertaruh bekas anggota tentera di PRK PD

Thursday, September 27, 2018

Pas pertaruh bekas anggota tentera di PRK PD

Pas pertaruh bekas anggota tentera di PRK PD

PORT DICKSON - [DIKEMASKINI] Pas mempertaruhkan bekas anggota pegawai tentera, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, 57, sebagai calon PRK Port Dickson yang akan berhadapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Tenggara ,Johor dan Pengetua Maahad Tahfiz Darul Iman, Bandar Tenggara itu bersyukur kerana dipilih menjadi calon PRK ini.

Katanya, menang atau tidak itu bukan keutamaan, sebaliknya perjuangan Pas perlu diteruskan dalam memberi isyarat kepada kerajaan PH bahawa rakyat Malaysia berani untuk berubah.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis pengumuman calon PRK Port Dickson di Markas Pas Cawangan Kampung Bukit Tembok, Linggi sebentar tadi.

Menurut Tuan Ibrahim, pemilihan Mohd Nazari ini adalah disebabkan latar belakang beliau yang merupakan pesara tentera, selain mempunyai hubungan rapat dengan bekas tentera seluruh Malaysia.

Katanya, Mohd Nazari pernah berkhidmat di Port Dickson, jadi sudah pasti tidak memberi masalah kepada beliau untuk mendapatkan undi daripada masyarakat di kawasan ini yang kebanyakkanya terdiri daripada pesara tentera.

Tambah Tuan Ibrahim, walau pun Umno tidak meletakkan calon mereka tetapi pihaknya berharap pengundi dan ahli Umno dapat memberi sokongan kepada calon Pas.

"Sebelum ini Umno umum tidak mahu bertanding dan boikot pilihan raya, serta tidak mahu membantu jentera Pas pada pilihan raya ini, itu kita hormati.

"Tetapi Pas mengalu-alukan ahli Umno dan pengundinya membantu dengan mengundi calon Pas walau pun jentera Umno tidak diturunkan pada PRK Port Dickson ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman calon PRK Port Dickson di Markas Pas Cawangan Kampung Bukit Tembok, Linggi malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya Pas negeri, Mustafa Daharun merangkap Pengarah Pilihanraya PRK Port Dickson, dan barisan pimpinan Pas Pusat.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 September lepas untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14 Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Parlimen Port Dickson yang memiliki sejumlah 75,770 pengundi dengan 68,486 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara, merupakan kerusi tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen PH di Negeri Sembilan.

Parlimen Port Dickson yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 mempunyai lima kerusi Dun iaitu Chuah dan Lukut dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (dahulu Port Dickson) (PKR).



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment