Najib sindir MOF padam posting di Facebook

Saturday, September 1, 2018

Najib sindir MOF padam posting di Facebook

Najib sindir MOF padam posting di Facebook

KUALA LUMPUR - Tindakan Kementerian Kewangan memadamkan hantaran (posting) infografik di Facebook berkenaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mendapat kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, infografik itu telah memaparkan perbandingan harga barang di bawah SST dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan pengiraan yang salah.

Katanya, hantaran itu bagaimanapun telah dipadamkan setelah dikecam pengguna Facebook.

“Pengiraan untuk GST yang ada di dalam infografik ini ternyata salah kerana tidak mengambil kira input GST yang boleh dituntut balik. Jika mengikut pengiraan yang betul, harga jualan kepada pengguna di bawah cukai GST dengan menggunakan margin keuntungan yang sama sepatutnya RM152.64 dan bukan RM171.49.

“Integriti Kementerian Kewangan tentang hal cukai dan pengiraan amat penting dan kesalahan dalam pengiraan cukai begini tidak patut dilakukan. Bagaimana sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap cukai itu sendiri tidak tahu pengiraan yang betul?,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Menurut Najib, beliau tidak pernah membuat hantaran dengan pengiraan yang amat ketara kesilapannya dan memadam sebarang hantaran sepanjang sembilan tahun menjadi Menteri Kewangan.

“Walaupun YB Tony Pua yang merupakan penasihat kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah berucap dengan begitu yakin di Parlimen bulan lalu bahawa SST akan mengurangkan harga barang (Hoh! Satu kenyataan yang paling berani) dan kerajaan PH bertegas mempertahankan cukai SST mereka, saluran rasmi kementerian dan informasi kerajaan tidak patut digunakan untuk menipu rakyat dengan pengiraan yang ternyata sangat salah.

“Biar rakyat menilai dengan sendiri jika harga barang telah turun pada hari ini - iaitu hari pertama cukai SST dilaksanakan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment