Lapan permohonan bakal pengantin positif HIV
KUANTAN - Lapan daripada 17,327 permohonan ujian saringan HIV bakal pengantin di negeri ini, direkodkan positif pada 2017.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit HIV/AIDS/Hepatitis C, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dr Sharifah Mahani Syed Mahar Affandi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,776 permohonan adalah di Daerah Kuantan dengan enam daripadanya direkodkan positif HIV.
"Jumlah tersebut memperlihatkan penurunan yang ketara berbanding hingga 15 kes yang pernah dicatat pada tahun tahun sebelumnya, di daerah ini.
"Pasangan ini ada yang ingin meneruskan perkahwinan dan mahu memperolehi anak. Tiada masalah untuk itu, tetapi pasangan ini akan diberi kaunseling dan diajar bagaimana melakukan hubungan seks selamat.
"Ibu HIV pula perlu terus mendaftarkan rawatan kehamilan untuk mendapatkan ubat antiviral sepanjang proses kehamilan dalam usaha mengelak bayi turut dijangkiti. Sejak empat tahun yang lepas tiada kes jangkitan direkodkan kepada bayi pasangan HIV di Pahang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Seminar Kekeluargaan Islam 'Fiqh Muslimah & HIV di kalangan Wanita' anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan di Kompleks Start Kontinjen Pahang Alor Akar di sini, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohammad Noor Yusuf Ali.
Dr Sharifah Mahani berkata, kira-kira 20 ibu dan pasangan HIV yang berdaftar di Pahang memiliki anak bebas HIV, tahun lalu.
Menurutnya, ia susulan kejayaan beberapa program pencegahan dan kawalan HIV anjuran JKNP termasuk Kuantan Cities Getting To Zero 2030.
"Pasangan HIV yang berkahwin boleh menyelamatkan bayi mereka daripada jangkitan sekiranya mengamalkan tatacara perkahwinan seperti digariskan JKNP.
"Di Malaysia kerajaan turut membekalkan susu formula secara percuma kepada bayi pasangan HIV selama dua tahun. Ini kerana, selepas bersalin ibu perlu teruskan makan ubat dan ditegah menyusukan bayi.
"Hanya ibu virus rendah sahaja dibenarkan menyusukan bayi tetapi sukar untuk menentukan virus itu rendah. Oleh itu, kita ambil langkah berjaga-jaga untuk tidak benarkan ibu susukan anak mereka," katanya.
Beliau turut menasihati wanita HIV yang hamil untuk membuat semakan penyakit kelamin lain seperti sifilis.
Wanita yang baru mengetahui mereka dijangkiti boleh mendapatkan khidmat sokongan Treatments Adherence Peer Support di bawah kendalian JKNP.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment