Kru penggambaran melecur, sesak nafas

Monday, September 17, 2018

Kru penggambaran melecur, sesak nafas

Kru penggambaran melecur, sesak nafas

PUCHONG - Kira-kira 20 kru yang sedang menjalankan sesi penggambaran berhampiran sebuah pasaraya di Bandar Bukit Puchong, di sini berdepan detik cemas apabila rumah diguna untuk sesi penggambaran terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, dipercayai ada kru melecur dan turut sesak nafas akibat terhidu bau asap.

Ketua Biro Aduan Puchong yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sebelum ke lokasi dengan sebuah ambulan.

Katanya, seorang kru turut dilapor kritikal akibat terhidu asap akibat kebakaran tersebut.

“Saya dihubungi untuk khidmat ambulan, memang banyak ambulan di lokasi kejadian penggambaran tersebut.

“Saya dapat tahu ada yang melecur ketika pihak itu menjalankan penggambaran babak kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Putrajaya Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Putrajaya Mejar (PA) Ahmad Junaidi Dukut Soeharto berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian pada 7.06 pagi.

Katanya empat anggota bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan 20 kru penggambaran terhidu bau asap.

“Pasukan kami beri bantuan awal dan bawa mangsa ke Hospital Serdang,” katanya seperti dipetik portal berita.

Punca kebakaran belum dipastikan, namun maklumat awal mendapati pihak itu sedang menjalankan babak kebakaran sebelum api merebak.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut bergegas ke lokasi untuk operasi memadamkan kebakaran.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment