Kesetiaan kepada perjuangan

Tuesday, September 25, 2018

Kesetiaan kepada perjuangan

Kesetiaan kepada perjuangan

TANGGAL 29-30 September 2018 ini akan berlangsung Perhimpunan Agung Umno 2018.

Perhimpunan kali ini merupakan yang pertama selepas Umno tidak lagi menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri kecuali di Perlis dan Pahang.

Perhimpunan kali ini juga dianggap penting untuk menentukan garis-garis besar haluan kesinambungan dan perjuangan Umno untuk masa hadapan.

Selepas 61 bertindak sebagai kerajaan dan teras negara, kini Umno berada di barisan pembangkang Parlimen Malaysia. Tidak ada lagi segala keistimewaan sebagai kerajaan seperti yang dinikmati dahulu. Umno perlu menyesuaikan dengan persekitaran politik baharu sebagai pembangkang.  

Menelusuri kekalahan 9 Mei 2018, pastinya ramai yang kecewa. Tidak kurang juga yang membuat keputusan peribadi untuk meninggalkan bahtera Umno sama ada menyertai parti lawan atau kekal bebas.

Secara matangnya, keputusan mereka untuk pergi meninggalkan Umno tidak boleh disekat, hak mereka perlu dihormati seperti mana hak mereka suatu masa dahulu ketika datang menyertai Umno, menjadi pemimpin parti, bertanding, memenangi ataupun kalah dalam pilihan raya atas tiket parti.

Menjadi satu lumrah bahawa pemimpin datang dan pergi. Tetapi yang terus kekal adalah prinsip dan idealisme perjuangan Umno yang tidak pernah berubah dari dahulu hingga kini. Bagi menghadapi cabaran ini, Umno perlu melalui proses muhasabah untuk bangkit kembali. Punca kepada masalah yang berlaku perlu dicari dan ditangani.

Kejatuhan Umno berlaku kerana rakyat tidak lagi memberikan kepercayaan mereka kepada parti. Kepercayaan rakyat telah mengalami proses penghakisan yang kronik akibat peperangan persepsi, imej negatif yang ditonjolkan serta kelalaian dan kealpaan yang ditunjukkan kepada rakyat. Ini satu fakta yang perlu diakui oleh semua.

Mencetuskan kebangkitan semula bukanlah suatu yang mudah. Prosesnya menuntut pengorbanan masa dan wang ringgit serta semangat juang yang tinggi. Kesetiaan dituntut agar ahli dan pemimpin tetap bersama parti biarpun dengan segala kekurangan.

Umno kalah kerana telah larut dalam paksi kebendaan. Tiada lagi keikhlasan dalam perjuangan, semuanya hendak diukur dengan upah dan berbayar. Maka yang melingkari Umno diambang kejatuhannya ialah orang-orang yang berkepentingan peribadi.

Namun kini, mereka kian meninggalkan Umno kerana tiada lagi kepentingan yang dapat diperoleh dari parti.

Ketika inilah, parti mampu mengenal mereka yang benar-benar setia kepada prinsip dan idealisme perjuangan. Umno akan terus relevan jika dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

Menjadi satu trend, apabila sesebuah parti tumbang dalam proses pilihan raya, maka berlakulah perdebatan yang serius tentang haluan perjuangan yang perlu ditetapkan semula.

Perdebatan ini mengundang pelbagai polemik sehingga kadang kala menyentuh tentang asas dan teras parti.

Tetapi perlu difahami juga bahawa ini adalah satu yang alamiah bagi manusia yang mahukan perubahan yang cepat untuk memperbaiki keadaan. Apabila perubahan itu tidak muncul dengan pantas maka mereka kecewa dan putus asa lalu bertindak lari meninggalkan medan membawa diri ke destinasi yang lain. Ketika inilah kesabaran perlu menjadi azimat yang paling utuh dalam jiwa perjuangan.

Kecaman, sindiran dan pelbagai penghinaan adalah hakikat yang perlu ditelan ketika ini. Kepahitan­nya adalah ubat yang paling mujarab untuk membangkitkan kembali wadah perjuangan Umno untuk masa hadapan.

Sejarah gemilang masa lalu adalah pedoman sangat berharga. Namun jalan di hadapan pastinya lebih berliku dan panjang. Penulis menaruh keyakinan bahawa orang Melayu dan rakyat Malaysia suatu hari nanti akan kembali menoleh kepada Umno.

Sesungguhnya nilai keterangkuman parti ini akan terus hidup. Tetapi prasyaratnya Umno perlu meneruskan proses pengislahan dan perubahan dengan giat dan berevolusi merentasi hari-hari mendatang Malaysia yang lebih mencabar. Bangkitlah Umno!.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment