Kes baling kerusi: Biar polis siasat dulu!
KULIM - PKR menunggu hasil siasatan polis terhadap individu yang ditahan berhubung insiden baling kerusi pada pemilihan cabang yang berlangsung di Kedah dan Pulau Pinang pada Sabtu lalu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata parti akan menunggu laporan hasil siasatan pihak polis terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.
Menurutnya, sekiranya mereka terbabit menyalahi peraturan parti ia akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"Kita masih tunggu laporan kerana mereka masih ditahan, kalau parti pun nak ambil tindakan ketika ini takut menggangu siasatan polis.
"Buat masa sekarang kita diberitahu ada penahanan oleh pihak polis, kita tunggu proses itu berjalan dulu.
"Selepas itu baru kita lihat kalau ia berkaitan dengan salah laku, jawatankuasa disiplin akan ambil tindakan selanjutnya," katanya kepada media.
Katanya, tanggungjawab ahli PKR adalah menghormati pelaksanaan sesuatu program yang diadakan untuk parti dan bukannya membuat kecoh sesuka hati.
"Melontar kerusi itu secara terangan perbuatan tidak baik dan ia melanggar peraturan disiplin. Jadi jawatankuasa boleh ambil tindakan,"katanya.
Terdahulu berlaku beberapa insiden membaling kerusi sehingga tercetusnya kekecohan dan mendatangkan kecederaan ketika pemilihan cabang PKR diadakan pada Sabtu lalu.
Sehubungan itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana ahli PKR yang bertanggungjawab dalam insiden membaling kerusi di Kedah dan Pulau Pinang sehingga menimbulkan kekecohan dan menyebabkan pemilihan terhenti akan dibuang daripada parti.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment