Kerajaan Perak suntik semangat atlet Sukma

Saturday, September 1, 2018

Kerajaan Perak suntik semangat atlet Sukma

Kerajaan Perak suntik semangat atlet Sukma

INSENTIF tambahan RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 menanti atlet Perak yang mencatatkan pencapaian terbaik sempena Sukan Malaysia (Sukma)  Perak 2018 yang dijadualkan bermula 12 September ini.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif berkenaan bakal diberikan kepada atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada temasya dwi tahunan berkenaan.

“Bagi acara berpasukan pula, mereka bakal menerima RM2,500 setiap seorang bagi yang berjaya meraih emas, RM1,000 (perak) dan RM500 bagi pingat gangsa.

“Insentif ini juga akan diberikan kepada atlet yang berjaya memecah rekod pada kejohanan Sukma kali ini.

“Justeru, saya mengajak kesemua atlet untuk mencabar diri sendiri dalam usaha mencatatkan pencapaian atau catatan peribadi terbaik sempena Sukma kali ini,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Negeri Perak, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Gazali Jalal dan Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan Chow.

Sukma Perak 2018 akan berlangsung mulai 12 hingga 22 September ini dengan mempertandingkan 427 pingat emas dalam 29 jenis sukan di 39 gelanggang di 12 daerah seluruh negeri.

Temasya sukan dwi tahunan itu turut melibatkan 11,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen dari seluruh negara.

Sementara itu, Ahmad Faizal mengharapkan kontinjen Perak dapat memberikan aksi terbaik dalam usaha merealisasikan hasrat untuk muncul juara keseluruhan Sukma kali ini.

Katanya, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kesemua atlet.

“Pencapaian terbaik kontinjen Perak adalah pada Sukma di Sabah 2002 lalu dengan menduduki tempat kedua.

“Jadi, lakukan yang terbaik kali ini agar kita menjadi juara keseluruhan buat julung kalinya,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment