Kelantan mara ke suku akhir
KELANTAN mencipta sensasi dalam kempen Piala Malaysia musim ini apabila mengisi baki dua slot ke suku akhir.
Pada perlawanan terakhir Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi, The Red Warriors menewaskan Kedah 2-0 sekali gus membolehkan skuad kendalian Yusri Che Lah mengiringi Johor Darul Ta'zim (JDT) ke fasa kalah mati.
JDT yang merupakan penyandang juara melangkah penuh bergaya setelah muncul juara kumpulan dengan mengutip sembilan mata menumpaskan Mifa 3-0 di Shah Alam.
Kelantan layak menerusi perkiraan bolos meskipun terikat lapan mata dengan Mifa dan Kedah.
Pelawat yang melakukan sepak mula perlawanan terus mengasak menerusi gerakan sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Andik Vermansyah namun gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah.
Menuju minit ke-10, Kelantan mempunyai peluang terbaik untuk memecahkan kebuntuan namun tandukan Shafiq Shaharudin berpunca sepakan lambung Mohd Azwan Mohd Aripin gagal menerjah gawang Kedah.
Seminit kemudian, skuad Lang Merah membalas serangan dan hampir mendahului tetapi percubaan kencang Abdul Halim Saari ditepis keluar penjaga gol, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.
Tuan rumah yang beraksi tanpa penyerang import, Cristiano Santos tampak bergelut memburu jaringan apabila gandingan Shafiq dan Mohd Danial Ashraf Abdullah hilang idea merencana gerakan berbahaya ke kubu akhir pelawat.
Minit ke-23, Kedah sekali lagi mencemaskan pintu gol tuan rumah hasil sentuhan menarik Muhammad Akhyar tetapi Sandro da Silva Mendonca pula gagal menanduk tepat hantaran silang rakannya itu.
Peluang kedua terbaik Kelantan hadir pada minit ke-32 apabila Mohd Khairul Rizam Che Soh bijak melakukan hantaran silang tetapi tandukan Shafiq sekali lagi jauh tersasar di gawang pelawat.
Bersambung babak kedua, Kedah menggandakan serangan mengerusi gerakan satu dua Muhammad Akhyar dan Liridon Krasniqi tetapi rembatan pemain skuad bawah 23 tahun negara itu sedikit melewati palang, pada minit ke-50.
Namun situasi semasa kembali memihak tuan rumah apabila apabila Mohd Danial bijak memanfaatkan lorongan rakannya dengan merembat masuk gol pertama menewaskan Abdul Hadi Abdul Hamid di gawang Kedah, seminit kemudian.
Pelawat yang tersentak dengan jaringan itu bangkit mengatur gerakan namun ketangkasan Mohamad Faridzuean menafikan percubaan jarak dekat Muhammad Akhyar, pada minit ke-60.
Menyedari satu gol masih belum cukup, kem tuan rumah memasukkan serentak dua pemain iaitu Santos dan Nik Azli Nik Alias, seminit selepas itu bagi mencari jaringan tambahan.
Sebaliknya, Kedah yang tertekan sepanjang babak kedua nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-74 namun Mohamad Faridzuean menggagalkan dua percubaan berbahaya Liridon Krasniqi dan Muhammad Akhyar di dalam kotak penalti.
Penjaga gol Kelantan itu terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menyelamatkan rembatan leret kapten pelawat, Baddrol Bakhtiar, tujuh minit kemudian.
Nik Akif Syahiran Nik Mat memastikan kemenangan 2-0 apabila meledak gol kedua dalam masa kecederaan untuk membawa Kelantan ke suku akhir.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment