Isu tahfiz: Wajibkan daftar seluruh negara

Friday, September 28, 2018

Isu tahfiz: Wajibkan daftar seluruh negara

Isu tahfiz: Wajibkan daftar seluruh negara

BUKIT GANTANG - Arahan mewajibkan pendaftaran kesemua pusat tahfiz yang terdapat di Kuala Lumpur sebelum 31 Disember oleh Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini, sepatutnya dikuatkuasakan kerajaan Pusat ke seluruh negara.

Jurucakap Solidariti Tun Mahathir, Datuk Shaharuddin Abdul Rashid berkata, arahan itu sepatutnya dilihat kesemua pihak dari aspek positif dan bukan berasaskan persepsi politik kepartian.

Menurutnya, arahan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan bertujuan memastikan tahap keselamatan, kebajikan dan silibus pembelajaran pelajar tahfiz berada pada situasi terbaik.

"Sepatutnya arahan tersebut turut meliputi semua pusat tahfiz swasta di seluruh negara.

"Penyelarasan dan kualiti pembelajaran perlu membabitkan modul kurikulum dan kondisi persekitaran pembelajaran kondusif.

"Kita harus mengakui banyak pusat tahfiz di negara ini tiada sistem pengurusan seragam, penyeliaan dan pemantauan terus daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri masing-masing," katanya kepada media di sini hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Haram pusat tahfiz? Ini kata menteri ]

Shaharuddin berkata, terdapat tiga perkara utama perlu diteliti kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebelum membenarkan sesebuah pusat tahfiz beroperasi.

Menurutnya, perkara itu adalah keadaan persediaan fizikal pusat tahfiz berkenaan dari aspek keselamatan infrastruktur bangunan, proses pemantauan berterusan pihak berkuasa agama atau badan-badan akreditasi kualiti pembelajaran serta kualiti tenaga pengajar bagi memastikan padagogi pembelajaran dan pengajaran berkesan.

"Dalam memenuhi keperluan pembangunan sumber manusia agar seiring dengan hala tuju kemajuan negara, pembelajaran harus melengkapi keperluan zaman dengan melahirkan golongan profesional yang menguasai al-Quran dan hadis.

"Kes-kes seperti tragedi kebakaran pusat tahfiz atau perlakuan tidak bermoral membabitkan tenaga pengajar perlu dipandang serius walaupun terpencil kerana insiden itu mempunyai implikasi moral besar menyentuh integriti agama Islam sendiri.

"Justeru, saya berharap langkah mewajibkan pendaftaran pusat tahfiz dengan pihak kerajaan mendapat sokongan positif kesemua pengendali maahad agama atau pusat tahfiz, ibu bapa dan pemimpin politik di seluruh negara," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment